Kelantan mahu Kabinet dibarisi ahli Parlimen bebas rasuah

Ahmad ketika ditemui media di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini hari ini.
Ahmad ketika ditemui media di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mahu pembentukan Kabinet baharu kali ini hanya melibatkan jemaah menteri yang berintegriti dan bebas rasuah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, beliau senada dengan pendirian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji hanya akan melantik jemaah menteri daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

"Pendirian tersebut perlu selari dengan segala perancangan yang akan dilakukan kerajaan baharu ini nanti.

"Kita mengharapkan bahawa pelantikan tersebut (Kabinet) akan mengambil kira hasrat rakyat terutamanya hasrat anak muda yang berdepan pelbagai kemelut terutamanya pelajar yang membuat pinjaman," katanya ketika ditemui media di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini hari ini.

Mengulas lanjut isu pinjaman pendidikan, Ahmad mencadangkan kerajaan baharu dapat mempermudahkan graduan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Satu ketika dulu dalam kempen yang dilakukan Pakatan Harapan (PH), mereka mahu langsaikan hutang PTPTN. Maka kerajaan hari ini pun sama, kalaulah dapat dikurangkan jumlahnya iaitu dibuat potongan riba, itu adalah lebih baik.

"Kita bayar balik apa yang kita pinjam sebagaimana biasa tanpa riba sebab pinjaman tetap pinjaman, hutang wajib dibayar, cuma riba saja kita potong. Namun, buat masa sekarang ini belum ada perbincangan lagi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin ikrar lantik jemaah menteri bersih, berintegriti

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha menjadikan Kelantan sebagai pusat pengeluar sumber manusia terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Kita tidak ada kilang seperti orang lain, tapi kita ada zon pendidikan yang mampu melahirkan sumber manusia untuk memenuhi keperluan macam Kias sendiri pun kita sedang usahakan untuk naik taraf sebagai universiti dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, Kelantan turut menitik beratkan isu keselamatan sempadan Malaysia- Thailand bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

"Isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand yang selama ini dianggap sebagai Kelantan-Thailand juga perlu dilihat kembali.

"Ini merupakan sempadan yang cukup panjang dan keadaan ini amat membimbangkan kerana boleh berlaku apa-apa sahaja penyeludupan barang-barang yang diharamkan dan sebagainya," katanya.