Lelaki Bangladesh mangsa buruh paksa ditemukan dikurung, didera

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh untuk mencari pekerjaan bertukar detik hitam selepas mendakwa diperdaya rakan senegaranya selain dikurung dan didera.
Bagaimanapun, hasil risikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), mangsa yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan menerusi serbuan di dua premis di kawasan tapak projek pembinaan bangunan di Seremban, Negeri Sembilan, pada Rabu.
Serbuan kira-kira jam 10.40 pagi dijalankan pihaknya daripada Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan turut menahan dua lelaki Bangladesh berusia 29 dan 36 tahun.
Katanya, kedua-dua suspek disyaki bertindak sebagai pemangsa yang mengawal serta mengehadkan pergerakan mangsa di premis.
"Berdasarkan hasil temu bual awal, mangsa berusia 33 tahun memaklumkan dia telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke asrama penginapan di tapak pembinaan tersebut untuk membincangkan mengenai tawaran pekerjaan, sebaliknya telah dianiaya.
"Mangsa turut mendakwa dirinya telah dipukul dan didera. Pasport dan telefon bimbit mangsa telah dirampas dan disimpan oleh suspek," katanya kepada pemberita di Majlis Aidilfitri JIM Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dan penggeledahan, pasukan operasi berjaya menemukan pasport, telefon bimbit serta beberapa dokumen milik mangsa dalam simpanan suspek.
Menurutnya, kesemua yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Dalam operasi itu, JIM turut menahan 85 warga asing di premis lokasi terbabit kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Tangkapan ini melibatkan warga Bangladesh, Indonesia dan Vietnam," ujarnya.
Tegasnya, JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.
"JIM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-88801471," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
