Lelaki warga China maut dalam kebakaran rumah teres

JOHOR BAHRU – Seorang warga China maut manakala enam lagi terselamat selepas rumah teres satu tingkat didiami mereka hangus dalam kebakaran di Taman Daya di sini pada Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira jam 11 malam.
“Mangsa dikenali sebagai Wu Zhongdi, 47, ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Dua individu lain turut mengalami kecederaan ringan, manakala empat lagi mangsa terselamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memaklumkan, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan II Shahril Sapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 malam sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan Kempas bersama 19 anggota bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran sebuah rumah teres satu tingkat dan api telah memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah.
“Anggota operasi bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran 60 meter, satu breaching dan dua pancutan sumber air pam jentera,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi pemadaman terkawal pada jam 11.30 malam dan tamat sepenuhnya sekitar jam 1.30 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

