Malaysia, China setuju wujudkan mekanisme dialog asing, pertahanan bersama

KUALA LUMPUR - Malaysia dan China bersetuju untuk mewujudkan Mekanisme Dialog Asing dan Pertahanan Bersama bagi meluaskan lagi saluran komunikasi strategik peringkat tinggi dan platform untuk kerjasama keselamatan politik.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, kedua-dua negara menyuarakan sokongan teguh antara satu sama lain dalam menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan integriti wilayah, dan berusaha untuk menggalakkan perpaduan negara, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran.
"Malaysia mengulangi komitmennya terhadap dasar One-China Policy, seperti dalam Pernyataan Bersama yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 31 Mei 1974.
"Selaras dengan One-China Policy, Malaysia mengiktiraf Kerajaan Republik Rakyat China sebagai kerajaan tunggal China yang sah, Taiwan ialah wilayah Republik Rakyat China yang tidak boleh dipisahkan, dan untuk China mencapai penyatuan semula negara, di samping tidak akan menyokong sebarang gesaan untuk kemerdekaan Taiwan,” kata kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan bersama itu, Malaysia dan China juga bersetuju untuk menambah baik dan menggunakan mekanisme kerjasama bagi keselamatan negara, pertahanan, penguatkuasaan undang-undang dan menjalankan lebih banyak pertukaran dan kerjasama dalam bidang seperti latihan dan latihan bersama, lawatan pertukaran dan kursus untuk pegawai.
Kedua-dua pihak mengulangi bantahan mereka terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan bersama-sama memerangi jenayah rentas negara untuk menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Kenyataan bersama itu berkata, Malaysia dan China juga bersetuju mengekalkan interaksi peringkat tinggi yang rapat dan mengukuhkan komunikasi strategik dan saling mempercayai, supaya dapat menyediakan panduan strategik untuk pembangunan hubungan dua hala jangka panjang dan stabil.
Kedua-dua pihak juga mengulangi sokongan teguh mereka dalam isu-isu berkaitan kepentingan teras dan kebimbangan utama masing-masing, manakala China menegaskan komitmennya terhadap Prinsip Persahabatan, Keikhlasan, Manfaat Bersama dan Inklusif dalam Diplomasi Kejiranan serta dasar membina persahabatan dan perkongsian dengan negara jiran.
Bagi meningkatkan komunikasi dasar untuk mengukuhkan lagi asas politik terhadap hubungan dua hala, Malaysia dan China akan mengukuhkan lagi pertukaran pengalaman mengenai tadbir urus, menggalakkan interaksi antara kerajaan pusat dan tempatan, badan perundangan, parti politik dan meneroka pembinaan dialog serta mekanisme pertukaran dalam kalangan parti pemerintah.
Semasa lawatan itu, kedua-dua pihak menandatangani satu siri dokumen kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dalam perkhidmatan, kereta api, pertanian, kebudayaan, pelancongan dan media untuk mengukuhkan lagi kerjasama secara menyeluruh.
Xi menyatakan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas layanan mesra yang diterima dan menjemput pemimpin-pemimpin Malaysia untuk melawat China pada masa yang sesuai.
Sementara itu para pemimpin Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Xi atas jemputan.
Lawatan negara selama tiga hari Presiden Xi yang bermula Selasa lepas adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus daripada perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
