Tubuh Jawatankuasa Majlis Perundingan pantau MoU Malaysia-China

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

TAPAH - Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Majlis Perundingan bagi menyelaras pelaksanaan 31 memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai dalam lawatan Presiden China Xi Jinping, Rabu lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penubuhan majlis yang akan dikoordinasi oleh Kementerian Luar kedua-dua negara itu penting dalam memantau perjanjian bersifat rentas sektor.

"Apabila melibatkan banyak kementerian kita mesti ada satu penyelarasan jadi, saya dengan rakan sejawat dari China nanti akan memastikan perkara itu.

"Banyak yang kita tandatangan tetapi bagaimana hendak laksanakan? apakah tindakan susulannya? dasar yang akan diguna pakai? Kita tidak mahu nanti selepas tandatangan, tiada sebarang tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni orang ramai di Kampung Pasir, Temoh di sini pada Jumaat.

Media pada Rabu melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jinping pada Rabu menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen merangkumi pelbagai sektor sempena lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula Selasa.

Antara yang menjadi tumpuan adalah pembinaan makmal gabungan bahan baharu AI China-Malaysia, kerjasama dalam Inisiatif Keselamatan Global (GDI), kerjasama dalam perkhidmatan perdagangan serta kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

Mohamad berkata, setiap kementerian yang terlibat perlu mengemukakan laporan suku tahunan kepada kementeriannya.

"Kementerian Luar akan membawa laporan status ke Kabinet dan seterusnya kepada kerajaan. Itu yang akan kita lakukan supaya kerja bersistematik ini dapat diuruskan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya nanti, kita segera terjemahkan kepada rakyat. Perkara ini telah dimaklumkan Jemaah Menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!