DUN Sabah: Menteri pening, doktor tak mahu bertugas di pedalaman

James ketika hadir pada Sidang DUN Sabah.
James ketika hadir pada Sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Sabah, Datuk James Ratib mengakui isu kekurangan doktor di negeri ini berlaku susulan keengganan petugas kesihatan untuk berkhidmat di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman.

Dalam sesi penggulungannya, James bersetuju dengan kenyataan Datuk Darell Leiking (Warisan–Moyog), susulan pendedahan dalam sebuah video podcast baru-baru ini mengenai masalah besar di Sabah iaitu doktor yang enggan berkhidmat di kawasan pedalaman.

"Memang saya setuju, saya Exco Kesihatan inilah memeningkan kepala saya. Janganlah jauh-jauh, kawasan saya sendiri pun di Sugud sangat kekurangan doktor.

"Kalau ada doktor dari Semenanjung pun datang ke Sabah, kebanyakan doktor-doktor ini anak orang kaya yang kadang-kadang tinggal di Lembah Klang dan sebagainya, tidak mahu datang Sabah," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Menyedari perkara itu, James berkata, isu berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, khususnya berkaitan usaha menambah jumlah doktor di Sabah terutama dalam kalangan anak tempatan.

"Sebab itu Kabinet telah bersetuju supaya kita akan memberikan biasiswa kepada anak-anak kita yang ambil bidang perubatan ini untuk melanjutkan pelajaran supaya lebih ramai anak Sabah yang bakal jadi doktor.

"Sekurang-kurangnya mereka boleh berkhidmat bertugas di kawasan sendiri. Jadi saya setuju, inilah memeningkan kepala kita, terutama sekali di kawasan saya sendiri pun kekurangan doktor," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN–Lamag) yang bangun mencelah turut mempersoalkan keperluan projek sambungan (peluasan) Hospital Duchess of Kent (HDOC) di Sandakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun hairan, kawasan hospital Sandakan itu sempitnya bukan alang-alang. Diberi pula peluasan lagi. Saya pun tak faham apa dalam fikiran kerajaan untuk memutuskan perkara sedemikian.

"Sedangkan kita perlukan hospital baharu di kawasan yang lapang, bukan di kawasan yang ditambah-tambah. Ini tidak rasional.

"Jadi seharusnya, sebagai menteri, buatlah cadangan bantahan bahawa daripada membuat peluasan, kenapa tidak kita bina satu bangunan baharu demi keselesaan masyarakat di Sandakan? Ini yang kita mahu, bukan perkara-perkara yang tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Mengulas perkara itu, James menjelaskan bahawa projek peluasan hospital berkenaan telahpun diluluskan sebelum beliau memegang portfolio sebagai Exco Kesihatan Sabah.

"Sebenarnya, sebelum saya menjadi Exco Kesihatan, projek peluasan Hospital Sandakan itu telah pun diluluskan dengan anggaran kos lebih kurang RM500 juta. Kalau kita cadangkan bina hospital baharu, saya rasa pun tidak akan diluluskan juga, hanya sekadar cadangan sahaja.

"Peluasan ini memang sudah ada, dan Insya-ALLAH, apabila siap sepenuhnya, kita akan cadangkan satu lagi hospital yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!