DUN Sabah: Tiada lesen perniagaan pelancongan diberikan kepada warga China

KOTA KINABALU - Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Ruddy Awah menegaskan bahawa pejabat daerah di negeri ini tidak mengeluarkan lesen perniagaan pelancongan kepada warga China.
Sebaliknya, beliau memaklumkan bahawa lesen berkenaan hanya dikeluarkan kepada warga tempatan sahaja.
"Jika ada sebarang maklumat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya (Jamil Hamzah), dialu-alukan untuk mengemukakan data dan maklumat serta maklumkan kepada kementerian saya mengenai penyalahgunaan lesen perniagaan seperti yang disebutkan.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa tindakan yang akan dibuat oleh pejabat daerah yang mengaitkan aktiviti-aktiviti pengusaha pelancongan.
"Ini termasuk mengadakan perjumpaan dengan pengusaha pelancongan untuk menerangkan pematuhan syarat menjalankan perniagaan dan pematuhan faktor keselamatan," katanya bagi menjawab soalan lisan daripada Jamil (Warisan–Bugaya) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Menjawab soalan tambahan mengenai dakwaan wujudnya aktiviti lesen yang telah 'dialibabakan' oleh pemiliknya, beliau meminta agar Jamil menyerahkan data dan maklumat berkaitan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.
"Mengenai ada warga tempatan yang telah mengalibabakan lesen kepada warga asing, saya berterima kasih kerana Yang Berhormat begitu prihatin dan ingin melihat bahawa kita di Sabah ini benar-benar apabila diberikan lesen kita berusaha dengan sebaik mungkin.
"Saya minta bantu kementerian kami untuk diambil tindakan melalui pejabat dan majlis daerah untuk memastikan bahawa data-data yang ada pada Yang Berhormat hantar pada saya, saya bantu dengan turun kawasan serta bincang dengan pejabat daerah, kementerian kami bantu kerana ini amat penting," katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu ketirisan seperti yang dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini, Ruddy menjelaskan bahawa pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat mengenainya.
"Kalau ada maklumat, tolong hantar bukti dan kita tidak berdiam diri, kita akan memastikan kerisauan serta penyalahgunaan kuasa akan dapat ditangani bersama.
"Sementara itu, mengenai operasi bersama, kita perlu bantuan dari Yang Berhormat untuk memastikan ada keperluan operasi dilakukan.
"Operasi tiada masalah bagi kita kerana kita boleh berkolaborasi dengan agensi berkaitan tetapi perlu kita tahu apa tujuan dan matlamat serta langkah seterusnya dan bagi kementerian saya, belum ada keperluan untuk melaksanakan operasi," katanya.
Sebelum itu, antara soalan tambahan yang dikemukakan ialah berkaitan lesen yang dikeluarkan kepada warga tempatan tetapi telah dialibabakan kepada warga asing.
Jamil turut meminta pengesahan mengenai dakwaan menteri berhubung kemungkinan wujud urus niaga haram antara Majlis Daerah Semporna dan warga asing, yang didakwa menjejaskan keberkesanan operasi bersama antara pihak majlis dan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!