Bangunan terbiar tidak dimanfaatkan merugikan negara - CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya memanfaatkan sepenuhnya setiap bangunan yang dibina bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan mencerminkan pengurusan harta negara yang cekap.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan membiarkan bangunan milik kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri terus terbiar bukan sahaja memberi gambaran negatif kepada masyarakat malah turut merugikan negara.
Menurut beliau, antara bangunan yang menjadi contoh adalah bangunan Mahkamah Persekutuan berstatus warisan yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang dilaporkan terbengkalai dan mencacatkan pemandangan di ibu kota.

“Selain itu, pada Disember tahun lalu, kompleks bangunan pejabat kerajaan negeri di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak yang sebelum ini beroperasi bagi pelbagai urusan masyarakat juga dilaporkan terbiar kosong.
“Di Pulau Pinang pula, Kompleks Pasar Awam Batu Ferringhi yang dilengkapi medan selera, dewan serbaguna, gelanggang badminton dan pelbagai kemudahan lain sejak Ogos 2020 kini juga terbiar begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Mohideen, bangunan-bangunan tersebut sepatutnya dibangunkan atau dimanfaatkan semula supaya tidak terus menyumbang kepada kerosakan harta awam.
“Jika terus dibiarkan, kos untuk membaikinya kelak mungkin jauh lebih tinggi. Oleh itu, kerajaan perlu melakukan penilaian bagi menentukan sama ada bangunan itu sesuai untuk digunakan semula atau perlu diroboh dan dibina semula.
“Ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan, malah memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Jelas beliau lagi, sebagai contoh, bangunan kuarters kakitangan Jabatan Perikanan di Batu Maung di sini yang dirancang untuk dirobohkan untuk projek baharu masih terbiar sehingga kini tanpa sebarang tindakan.
Tegasnya, semua bangunan dan ruang kosong yang tidak digunakan perlu diberi perhatian demi kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber yang lebih cekap serta pembangunan komuniti.
“Masalah ini tidak termasuk lagi bangunan yang terbiar akibat projek terbengkalai. Walaupun bilangannya mungkin kecil, namun tetap memberi kesan kepada negara kerana melibatkan wang rakyat dalam jumlah yang besar.
“Pihak yang diamanahkan untuk menguruskan bangunan-bangunan ini perlu bertanggungjawab dan memastikan ia tidak terus dibiarkan tanpa dimanfaatkan,” katanya.
Tambahnya, aspek pemantauan perlu diberi keutamaan supaya semua bangunan milik kerajaan digunakan sepenuhnya demi manfaat bersama rakyat dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

