ADUN pembangkang kesal tak dijemput taklimat insiden Putra Heights - Afif

Afif
Afif
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Selangor meluahkan rasa kesal selepas tidak diundang menghadiri sesi taklimat khas susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang dianjurkan kerajaan negeri pada Rabu.

Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan itu mencerminkan sikap tidak demokratik kerajaan negeri serta menjejaskan prinsip tanggungjawab dan ketelusan dalam pengurusan bencana.

"Insiden ini telah merosakkan kediaman, menjejaskan ratusan keluarga dan membahayakan keselamatan awam.

"Ia seharusnya ditangani dengan penglibatan semua pihak, bukan melalui mesyuarat tertutup yang hanya melibatkan kelompok tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mempersoalkan motif kerajaan negeri yang dilihat seolah-olah mahu mengawal naratif tanpa diganggu soalan-soalan kritikal daripada wakil rakyat pembangkang.

"Adakah terdapat kegagalan agensi atau kecuaian pihak tertentu yang cuba disembunyikan daripada penelitian umum?" soal beliau.

Afif yang juga ADUN Teman Medan menegaskan, sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah, pihak pembangkang wajar dilibatkan dalam semua proses berkaitan pemulihan kawasan bencana dan pencegahan insiden berulang.

Kata beliau, tindakan meminggirkan pembangkang hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran negeri dan mencetus persepsi bahawa kebajikan rakyat bukan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyokong tuntutan agar sidang khas DUN Selangor diadakan segera dan menuntut semua laporan siasatan dibentang secara terbuka demi menjamin hak dan keselamatan rakyat.

"Sehingga kini, kerajaan negeri terus mengelak daripada menyahut seruan tersebut, seolah-olah takut kepada pendedahan dan enggan menerima semak dan imbang yang sah.

"Sebarang laporan dan hasil siasatan berkaitan insiden ini mesti dibentangkan secara terbuka kerana rakyat berhak tahu siapa yang bertanggungjawab, apa langkah yang telah diambil dan bagaimana keselamatan mereka akan dijamin pada masa akan datang," tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!