Kambing kukus tong dram laris di majlis terbuka Aidilfitri

Kambing diikat dan diletakkan di tempat khas sebelum dikukus dalam tong drum.
Kambing diikat dan diletakkan di tempat khas sebelum dikukus dalam tong drum.
A
A
A

KOTA BHARU - Menu kambing kukus tong dram yang diperkenalkan sepasang suami isteri dari Kampung Padang Embong, Tendong, Pasir Mas sejak lebih enam tahun lalu kini mula dikenali dalam kalangan penggemar masakan kambing.

Pasangan berkenaan, Che Norhashimah Che Wahab dan suami, Mohamad Mat Zain, masing-masing berusia 40 tahun, kini tidak menang tangan menerima tempahan sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.

Che Norhashimah berkata, sepanjang Syawal ini, mereka menerima tempahan antara 40 hingga 50 ekor kambing kukus untuk rumah terbuka.

Kambing kukus yang disediakan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.
Kambing kukus yang disediakan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.

“Pengalaman kami sebelum ini, kambing golek atau bakar lebih keras dan kurang digemari warga emas, namun kaedah kukus ini lebih lembut dan berjus,” katanya kepada Sinar Harian.

Menceritakan idea menu unik itu, Che Norhashimah berkata, segalanya bermula apabila suaminya gemar mengolah resipi dan menu sedia ada supaya masakan kambing boleh dinikmati oleh pelbagai peringkat usia.

Bekas kakitangan bank itu memberitahu, walaupun proses penyediaan mengambil masa sehingga 12 jam, namun ia berbaloi kerana ramai pelanggan menggemarinya.

Jelasnya lagi, ada pelanggan yang lebih memilih kambing import dan mereka perlu memastikan aisnya benar-benar kering dalam tempoh lebih dua jam sebelum dilumur bahan perapan dan dibiarkan kira-kira empat jam.

Tambah Che Norhashimah, proses membakar pula mengambil masa empat hingga lima jam bergantung pada saiz kambing.

Artikel Berkaitan:

Mohamad (kanan) bersama pembantu menyediakan kambing kukus di satu majlis.
Mohamad (kanan) bersama pembantu menyediakan kambing kukus di satu majlis.

“Ketika membakar, kambing dimasukkan ke dalam tong setinggi kurang satu meter yang mempunyai satu lubang kecil di atasnya, manakala di sekelilingnya diletakkan bara daripada arang kayu,” katanya.

Ibu kepada lima anak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu memberitahu, sebanyak 20 hingga 30 beg arang diperlukan bagi memastikan kambing benar-benar masak.

“Kami memulakan proses mengukus kambing pada jam 3 pagi kerana ramai pelanggan membuat tempahan untuk menjamu tetamu sebelum jam 1 tengah hari,” katanya.

Berkongsi resipi perapan kambing kukus, Che Norhashimah berkata, bahan utama yang digunakan ialah bawang merah, bawang putih, jintan manis dan jintan putih, selain rempah rahsia garam masala yang menyedapkan lagi hidangan kambing kukus.

Che Norhashimah (dua, kanan) bersama keluarga ketika Hari Raya Aidilfitri.
Che Norhashimah (dua, kanan) bersama keluarga ketika Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan pengalaman, ada pelanggan yang memintanya mengukus daging lembu atau biri-biri, dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menyediakannya.

Bagaimanapun, katanya, tempahan awal penting kerana ada beberapa perkara yang perlu disediakan.

“Selalunya tempahan dibuat antara empat hingga lima hari sebelum majlis kerana banyak proses yang perlu kami lakukan supaya hidangan sempurna dan memuaskan hati,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!