Suami isteri rentas tujuh negara tunai umrah pada Ramadan

Farhan dan isterinya, Ainaa yang mengembara 30 hari sepanjang Ramadan, merentasi tujuh negara untuk menunaikan ibadah umrah.
Farhan dan isterinya, Ainaa yang mengembara 30 hari sepanjang Ramadan, merentasi tujuh negara untuk menunaikan ibadah umrah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri yang merentasi tujuh negara bagi menunaikan ibadah umrah di Arab Saudi telah berjaya menamatkan pengembaraan mereka selama 30 hari ketika Ramadan.

Sepanjang tempoh 30 hari pengembaraan, Farhan Mokhali, 28, dan isterinya, Ainaa Fakhira, 27, berkesempatan untuk berpuasa bersama masyarakat Islam yang di negara- negara yang dilewati sepanjang perjalanan mereka.

Menurut Arab News, kedua pasangan suami isteri itu memulakan perjalanan dari Padang Besar, Perlis yang bersempadan dengan Thailand.

“Inspirasi dan idea ini sepenuhnya datang daripada Ainaa. Sejak remaja lagi, dia bercita-cita menjadi 'backpacker' dan mengembara ke seluruh negara.

“Selepas beberapa tahun tangguh impian itu, pada 2025, dia memutuskan untuk merealisasikannya kerana tidak mahu menunggu lebih lama,” katanya pada Jumaat.

Jelas Farhan, dari Hatyai, mereka menuju ke Bangkok sebelum ke Vientiane, Laos dan seterusnya ke Kunming, China.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke Xi’an sebelum tiba di Khorgos untuk memasuki Kazakhstan.

Bagaimanapun, perjalanan darat mereka terhenti selepas berdepan masalah mendapatkan visa ke Turkmenistan dan Syria.

Tambah pasangan itu, sepanjang 30 hari tersebut, mereka mengunjungi tujuh negara dengan menaiki 10 kereta api, tiga bas dan dua kapal terbang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pasangan yang mengusahakan sebuah syarikat media, tetap bekerja sepanjang perjalanan mereka yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM20,300.

Ujarnya, walaupun mengembara ketika Ramadan, mereka tetap berpuasa sambil merasai budaya masyarakat Islam di setiap lokasi yang dilawati.

“Ketika berpuasa di Kyrgyzstan, kami berkhemah dalam salji pada suhu bawah sifar dan mendaki sejauh 15 kilometer (km) dalam keadaan salji turun hanya untuk merasai pengalaman di mata air panas Altyn Arashan.

“Kami sangat menyukai setiap bahagian perjalanan ini kerana ia memberi peluang untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama dan mempelajari banyak perkara baharu.

“Kami juga bersyukur kerana berpeluang merasai keindahan Ramadan di negara lain.

"Kami berpeluang merasai pelbagai budaya seperti berbuka puasa bersama penduduk tempatan, menunaikan solat tarawih di masjid berbeza di beberapa negara dan banyak lagi tradisi Ramadan yang lain,” ujar mereka.

Kata pasangan itu, mereka telah tiba di Madinah pada minggu lalu sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah bagi menunaikan ibadah umrah.

Suami isteri berkenaan menyifatkan pengalaman menunaikan umrah bersama sebagai detik paling bermakna sepanjang perjalanan itu.

"Kami akan balik dan menyambut Aidilfitri di Malaysia pada Sabtu...kami belum sempat merasai Ramadan di negara sendiri tahun ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!