Open house erat silaturahim, bukan tempat kutip duit raya

SYAWAL masih berbaki dua minggu lagi, undangan rumah terbuka meriah sungguh sampai jalan pun boleh sesak teruk.
Tambahan pula kini sudah mula ada yang membuat rumah terbuka di malam hari bekerja, sama meriah dengan hujung minggu.
Rumah terbuka Aidilfitri ini, walaupun namanya 'rumah', sebenarnya tak kira dekat dewan, pejabat, khemah, hatta bawah pokok sekali pun, selagi ada nasi himpit dan kuah kacang, selagi itulah semangat raya masih hidup.
Tapi tahun ini, Merak Jalanan perasan satu benda. Tradisi bagi duit raya makin menjadi-jadi.
Dulu-dulu, budak-budak saja yang dapat, sekarang ini sampai anak muda umur 20-an pun buat muka manja tunggu sampul hijau.
Tak cukup dengan itu, siap ada yang buat 'tour rumah terbuka' - pagi di rumah Cik Kiah, tengah hari rumah Tok Ketua, petang rumah YB, malam rumah bos tempat kerja. Hebat betul perancangan, kalah konvoi raya!
Cumanya kita kena betulkan matlamat. Penuhi undangan rumah terbuka itu bukannya bermatlamat untuk dapatkan duit raya.
Merak Jalanan bukan apa tapi kadang-kadang, elok juga kita renung balik. Rumah terbuka ini tempat erat silaturahim, bukan tempat kutip habuan.
Kalau ada rezeki tuan rumah nak beri duit raya, Alhamdulillah. Tapi janganlah sampai jadi budaya datang sebab sampul.
Bagi Merak Jalanan, nilai sebenar Syawal bukan pada duit dalam sampul, tetapi pada senyuman yang ikhlas, pelukan yang erat dan ucapan maaf yang datang dari hati.
Kadang-kadang, sepinggan bihun goreng dengan air sirap pun cukup kalau tetamu rasa dihargai.
Jadi Merak Jalanan nak ajak semua bila datang rumah terbuka, datanglah dengan hati yang terbuka. Kalau dapat sampul...senyum. Kalau tak dapat pun...senyum juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
