Tun M nafi enggan tandatangan pindah milik tanah UMNO

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

SHAH ALAM- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau enggan menandatangani surat perlepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.

Malah, beliau menempelak beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang didakwa menuduhnya.

“Saya tak tahu nak kata apa pasal tahap pemikiran mereka ini. Pertamanya, mereka tak baca ke saman pemula yang difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan?

“Saman itu menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan, bukannya saya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dr Mahathir berkata, dalam afidavit sokongan saman tersebut juga dinyatakan bahawa permohonan kebenaran untuk pindah milik tanah bertarikh 27 Oktober 2015 telah disertakan dengan surat akuan ditandatangani oleh kesemua empat pemegang amanah termasuk dirinya.

Jelas beliau, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan kemudian memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan kebenaran pindah milik tersebut kepada UMNO pada 28 Disember 2015.

Bagaimanapun, proses pindah milik terbabit terbantut pada Mei 2017 berikutan nama dalam geran hartanah tidak sepadan dengan kad pengenalan.

“Oleh itu, tidak timbul isu saya enggan melepaskan harta UMNO. Saya sudah buat akuan bersetuju sejak tahun 2015 lagi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kes saman tersebut melibatkan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan tiada kaitan langsung dengan dirinya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebelum ini telah memfailkan saman fitnah terhadap Zahid kerana didakwa berbohong bagi memburukkan namanya dan kini tindakan sama turut dilakukan Puad.

“Tak malukah berbohong dan fitnah tak berhenti-henti?

“Tapi kalau fitnah ini kerana tak faham, mungkin ahli UMNO perlu fikir semula sama ada kaki bohong layak terus jadi Presiden ataupun Speaker DUN Johor,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!