Ada jabatan kerajaan tutup ruangan komen sekat aduan rakyat - Aliakbar

Datuk Aliakbar Gulasan (Pas-dilantik) berkata, dalam era dunia tanpa sempadan dan perkembangan pesat platform digital, media sosial menjadi antara medium utama rakyat menyuarakan pandangan dan aduan terutamanya kepada wakil rakyat serta jabatan kerajaan yang berkaitan dengan urusan harian mereka.
"Saya juga berterima kasih kepada pengikut saya di media sosial sama ada di Facebook atau TikTok yang sering berkongsi pandangan dan isu masyarakat.
"Ramai yang berhubung dengan kita sebagai wakil rakyat melalui media sosial, cuma pandangan saya dapati ada segelintir jabatan kerajaan yang menutup ruangan komen. Saya tidak pasti apa sebab mereka," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Aliakbar berkata, tindakan sedemikian tidak wajar dan seharusnya dikaji semula kerana ia boleh menjejaskan penyampaian maklumat dan maklum balas daripada rakyat.
Beliau turut menyeru jabatan kerajaan yang popular seperti Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Sabah Electricity dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil perhatian pandangan tersebut.
"Jabatan berkenaan antara yang menjadi tumpuan utama rakyat untuk memberi aduan," katanya.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu pelan induk khusus yang menyeluruh bagi pembangunan sektor pelancongan di Sabah, khususnya di Kundasang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
