Zabidi Nasan dilantik Ketua Pengarah YAPEIM baharu

SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) mengumumkan pelantikan Zabidi Nasan sebagai Ketua Pengarah baharu berkuatkuasa pada 11 April 2025.
YAPEIM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Ameer Ali Vali Mohamed yang telah menamatkan perkhidmatan selepas memacu yayasan tersebut selama dua tahun.
Zabidi yang merupakan anak jati kelahiran Baling, Kedah, pernah berkhidmat dalam agensi Hal Ehwal Agama (HEA) dan sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dari tahun 2018 sehingga April 2025.
“Beliau juga pemegang ijazah Sarjana Muda Islamic Revealed Knowledge and Heritage dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini pernah terbabit dalam pengurusan dan pentadbiran di UIAM apabila menjawat jawatan selaku penolong pengarah di Jabatan Latihan dan Kepimpinan Pusat Pengajian Asasi, UIAM dari tahun 1997 hingga 2007.
“Pada tahun 2007, beliau turut mengemudi Jabatan Rekod dan Pendaftaran Pusat Pengajian Asasi UIAM selaku penolong pengarah kanan sehingga tahun 2012 dan kemudian menjawat jawatan timbalan pengarah di Divisi Pembangunan Hal Ehwal Pelajar, UIAM selaku ketua jabatan perkhidmatan dan pentadbiran am dari tahun 2012 sehingga 2013.
“Beliau kemudian meneruskan perkhidmatan di Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan selaku pengurus besar dari tahun 2013 sehingga 2017,” katanya baru-baru ini.
Dalam pada itu, YAPEIM turut mengumumkan Syamsul Firdaus Mohamed Supri sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM berkuatkuasa serta merta.
Syamsul Firdaus yang berasal dari Parit Yaani, Yong Peng, Johor sebelum ini pernah menyandang jawatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan bagi penggal 2018-2023.
Kini Syamsul berkhidmat selaku perunding pembangunan tenaga IAS Energy Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
