Mohamad Adam penternak ayam berjaya

KAMPAR - Meninggalkan kerjaya selesa demi mengejar impian bukanlah keputusan mudah, namun itulah langkah berani yang diambil Mohamad Adam Shah Mohamed Hussain, 42, seorang anak jati Tanjung Malim kini berjaya membina empayar ternakan ayam sendiri.
Bermula pada 2018, Adam mengambil keputusan nekad menjadi penternak ayam daging sepenuh masa dengan matlamat jelas untuk memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, sentiasa cukup sumber protein di atas meja.
Berbekalkan semangat dan kepercayaan kepada rezeki, beliau membuka dua reban ayam moden berteknologi sistem tertutup di Kampung SMTD, Kampar yang kini, setiap kitaran mampu menghasilkan kira-kira 65,000 ekor ayam.
Namun di sebalik kejayaan itu, tersimpan pelbagai dugaan, termasuk pernah dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa hampir RM80,000 akibat isu teknikal semasa memulakan operasi.
“Situasi itu memang mencabar kerana saya baru nak menceburi bidang penternakan ini. Di sebalik semua prosedur telah dipatuhi, rupanya ada dugaan lain yang datang.
“Saya anggap itu semua asam garam dalam perniagaan. Kalau kita takut cabaran, sampai bila pun kita takkan maju,” katanya yang kini menguruskan ladang ternakan di bawah syarikat MA Agrofarm Sdn Bhd.
Sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab, Mohamad Adam menjadikan keluarganya sebagai sumber kekuatan untuk terus bertahan dan berkembang dalam industri yang mencabar ini.
Lebih membanggakan, beliau kini sedang merancang pembukaan reban ayam tertutup yang baharu dalam masa terdekat.

Apa yang lebih membakar semangatnya ialah sokongan kerajaan negeri, khususnya melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), yang menyediakan bantuan kepadanya sebelum ini.
“Tanpa bantuan serta dorongan daripada kerajaan negeri, mungkin agak sukar untuk anak muda seperti saya berjaya seperti ini. “Dasar kerajaan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 benar-benar membuka ruang dan peluang kepada anak muda untuk berjaya,” katanya penuh yakin.
Mohamad Adam kini sedang dalam proses memperluas operasinya ke kawasan baharu seluas 12 hektar di lokasi sama, dengan sasaran meningkatkan pengeluaran sehingga 200,000 ekor ayam setiap kitaran.
Baginya, inisiatif dan sokongan kerajaan negeri bukan sahaja membantu usahawan kecil sepertinya berkembang, malah menjadi pemangkin kepada jaminan bekalan makanan negara.
“Anak muda di Perak ini sebenarnya ramai yang berbakat dan berani mencuba. Yang penting, mereka diberi peluang serta sokongan sewajarnya.
“Saya harap usaha kecil ini menyumbang kepada bekalan makanan yang stabil dan harga yang berpatutan untuk rakyat,” katanya.
Pertemuan beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, semasa Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia sebelum ini juga membuka ruang besar untuk beliau menyuarakan cabaran yang dihadapi penternak kecil.
Kini, harapan dan masa depan semakin cerah, bukan sahaja buat Mohamad Adam, tetapi buat generasi muda lain yang mahu terus berkembang dalam sektor ekonomi yang semakin mencabar ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

