Tarif AS tidak jejas harga ayam, telur, gula dan minyak masak - Fuziah

KUANTAN - Kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan kepada harga barangan keperluan asas di negara ini setakat ini seperti telur, minyak masak, gula, ayam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, walaupun kementerian itu tidak terlibat secara langsung dalam urusan barangan import tertentu, pemantauan harga bagi barangan asas di pasaran tempatan tetap dijalankan secara berterusan.
“Kita seperti biasa sentiasa memerhati dan memantau harga barangan setiap hari. Pegawai penguat kuasa serta pegawai pemeriksa harga KPDN menjalankan pemantauan berterusan, khususnya terhadap barangan keperluan asas.
“Fokus utama KPDN adalah barangan seperti minyak masak, gula, telur, ayam dan sebagainya manakala barangan di luar kategori ini tidak berada dalam bidang kuasa kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat KPDN Pahang di Indera Mahkota di sini, pada Rabu.
Fuziah menambah, pemantauan secara harian penting bagi menjamin kelestarian bekalan serta kestabilan harga barangan keperluan di pasaran.
Untuk rekod, Presiden AS, Donald Trump pada 2 April lalu mengumumkan pelaksanaan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara, manakala duti import lebih tinggi turut dikenakan ke atas beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
Bagaimanapun, AS memberi penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan tarif tersebut kepada 75 negara, termasuk Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

