Kebun durian haram: Pas persoal pendirian UMNO terhadap DAP

TAPAH - Pas mendesak UMNO menyatakan pendirian terhadap tindakan wakil rakyat DAP dalam isu pencerobohan haram durian di tanah kerajaan di Raub, Pahang.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sehingga kini, belum ada mana-mana kenyataan rasmi dikeluarkan pimpinan UMNO yang mengecam isu tersebut.
"Kita ucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang kerana bertindak melaksanakan titah Sultan Pahang.
"Namun timbul persoalan, apakah pendirian UMNO terhadap DAP yang jelas telah mencabar kerajaan negeri dan biadab terhadap Sultan.
"Mengapa tiada sebarang kenyataan tegas dikeluarkan oleh UMNO terhadap DAP. Ini satu persoalan besar kerana
kita tahu UMNO selama ini sejak dari tahun 1946 begitu keras, begitu agresif dalam melawan tindakan-tindakan DAP," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Harian PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini pada Selasa.
Idris berkata, sebagai rakan gabungan dalam kerajaan negeri bersama DAP, UMNO perlu menyatakan pendirian jelas terhadap tindakan Ahli Parlimen Raub dan mengambil tindakan tegas memecat parti itu daripada menjadi sebahagian kerajaan Pahang.
Kata beliau, sikap tidak tegas dipamerkan hanya mengukuhkan tanggapan bahawa UMNO bergantung terhadap sokongan DAP dalam membentuk kerajaan di negeri itu.
"Seperti kita sedia maklum Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 17 kerusi dan bergantung kepada 6 kerusi DAP dan 2 kerusi PKR untuk membentuk Kerajaan.
"Adakah ini sebabnya UMNO bersikap mendiamkan diri daripada mengambil tindakan kepada DAP?
"Lebih membimbangkan situasi serupa dilihat di Perak, di mana komposisi kerajaan negeri didominasi oleh DAP.
"Walaupun Menteri Besar adalah daripada UMNO, mereka bergantung kepada 24 kerusi Pakatan Harapan (PH) yang mana 18 daripadanya adalah milik DAP," katanya.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA) Wilson Chang ditahan polis bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub minggu lepas.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!