Peguam DAP urus kes Ahli Parlimen Raub ikut undang-undang - Anthony Loke

SUBANG JAYA — Peguam DAP kini sedang menguruskan kes melibatkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mengikut saluran perundangan yang betul.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada peguam berhubung penahanan Yu Hui atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.
“Peguam memang ada bersama beliau dan saya sendiri hanya mengetahui mengenai perkara itu hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Tabung Bantuan Mangsa Insiden Letupan Saluran Paip Gas Putra Heights, di Stesen LRT Putra Heights di sini pada Isnin.
Terdahulu, Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes di Raub, Pahang atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam.
Penahanan itu disahkan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman yang memaklumkan kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan, turut berkongsi kejayaan Tabung Bantuan Mangsa Insiden Letupan Saluran Paip Gas di Putra Heights yang dilancarkan oleh DAP.
Menurut beliau, tabung tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak RM965,539.44 dalam tempoh seminggu hasil sumbangan orang ramai, syarikat swasta dan pertubuhan masyarakat sivil.
“Sumbangan disalurkan kepada lebih 300 keluarga yang terjejas. Bagi kediaman yang musnah sepenuhnya, penerima menerima bantuan sebanyak RM5,000 manakala rumah yang mengalami kerosakan sekitar 50 peratus menerima RM2,000,” jelasnya.
Tabung itu dilancarkan sejurus selepas tragedi berlaku sebagai usaha segera membantu penduduk setempat membina semula kehidupan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!