Polis lengkap kertas siasatan Yu Hui, Pengerusi Samka

KUANTAN – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang yang didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub minggu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang merakam keterangan kedua-dua individu tersebut susulan penahanan yang dibuat pada Isnin.
“Kita sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang, Ketua Cawangan Khas, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Dewan Badminton, Kompleks Logistik PDRM Alor Akar, di sini pada Selasa.
Yahaya memaklumkan, pemimpin DAP itu dan Wilson hadir ke Balai Polis Raub pada jam 3.30 petang sebelum proses rakaman percakapan serta soal siasat dijalankan.
“Semalam kita ambil keterangan agak lewat dan turut membuat tangkapan.
"Jika sekiranya siasatan dapat dilengkapkan segera, tiada permohonan reman akan dibuat dan mereka akan dibebaskan," katanya.
Sementara itu, Yahaya turut memaklumkan sebanyak 28 laporan diterima berkaitan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Raub, setakat ini.
Katanya, laporan berkenaan diterima dari seluruh negara, termasuk daripada pekebun, individu serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Sehingga kini, kita terima 28 laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pekebun, NGO dan orang perseorangan.
"Kebanyakannya menyatakan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh kerajaan negeri terhadap kebun durian tidak berlesen,” katanya.
Pada Isnin, Yu Hui dan Wilson ditahan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bagi membantu siasatan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, Yu Hui yang juga Penasihat SAMKA dan Chang hadir ke IPD Raub pada jam 4 petang semalam untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

