Ahli Parlimen Raub, Pengerusi Samka dibebas dengan jaminan polis

KUANTAN - Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan pada Isnin.
Samka dalam satu kenyataan menjelaskan kedua-dua mereka dilapor meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub pada jam 11.30 pagi.
Pada Isnin, Yu Hui dan Wilson ditahan di IPD Raub bagi membantu siasatan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka semasa operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian musang king ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!