Gabungan NGO desak tindakan tegas ke atas penceroboh tanah di Raub

KUANTAN - Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu mendesak tindakan lebih tegas diambil ke atas penceroboh tanah kerajaan yang bertindak menghalang tugas penguat kuasa menjalankan operasi menebang pokok durian dari tanah yang diceroboh di Sungai Ruan, Raub baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat berkata, ia susulan perbuatan melampau sekumpulan peceroboh diketuai Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui memaki-hamun penguat kuasa yang menjalankan tugas.
Menurutnya, kejadian pada 9 April lalu itu bukan yang pertama malah sejak operasi pada 2019, kumpulan terbabit turut bertindak serupa ke atas penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Begeri Pahang (UPNP).
"Kami gabungan besar NGO Melayu Islam dan rakyat negeri Pahang hari ini berkumpul mendesak pihak berkuasa bertindak dengan lebih tegas lagi ke atas kumpulan tersebut.
"Kalau tidak cukup tindakan di bawah Akta Tanah Negara, jika perlu gunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)," katanya ketika berucap dalam satu himpunan aman di Sungai Chalit, Raub pada Isnin.

Masridzi berkata, beliau mewakili NGO terlibat menyokong penuh tindakan UPNP dan kerajaan negeri Pahang dalam isu pencerobohan tanah kerajaan itu.
"Kalau penceroboh berani untuk pertahankan pokok durian, kita juga sanggup ke depan dalam mempertahankan tanah air, agama dan raja.
"Kes ini melibatkan penceroboh terang-terangan dan jelas sejak puluhan tahun.
"Kini mereka menunjukkan kuasa menjarah hasil daripada tanah orang lain dengan hasil berjuta selama ini," katanya.
Tambah beliau, sekiranya tiada tindakan yang tegas boleh menyebabkan masyarakat hilang hormat kepada pihak penguat kuasa.
"Kami sudah letih buat laporan polis kini hanya nak lihat dan berkongsi tindakan sahaja.
"Jika perlu ambil tindakan di bawah Sosma ke atas Ahli Parlimen Raub dan kumpulan penceroboh tanah yang menengking, menghina, menghalang dan membuat provokasi kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas itu," tegasnya.
Menurutnya lagi, Yu Hui telah bertindak menjadi wakil kepada penceroboh bukannya menjadi wakil rakyat sebenar.
"Beliau sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat di Raub termasuk dalam kalangan penduduk dan pengundi Melayu.
"Dia juga seolah tidak menghormati keputusan mahkamah dan tidak taat sebaliknya derhaka kepada perintah Tuanku Sultan Pahang.
"Dia ini rakyat Pahang ke rakyat apa? Menghasut penduduk serta penceroboh tanah untuk melawan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata, pemimpin dari DAP juga tidak layak menjadi wakil rakyat kerana perbuatan dan kenyataannya yang kontroversi sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

