Yu Hui digesa letak jawatan jika terus bela penceroboh – Kamil

KUANTAN – Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui digesa meletakkan jawatan sekiranya terus membelakangi undang-undang negara dengan membela pekebun durian musang king yang didakwa menceroboh tanah kerajaan di Raub.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, tindakan pemimpin DAP itu dilihat tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan Rukun Negara.
“Kalau beliau (Yu Hui) tidak mampu menghormati undang-undang dan Rukun Negara, saya rasa beliau seharusnya malu dengan diri sendiri dan patut meletakkan jawatan.
“Walaupun kita tahu beliau menang (dalam Pilihan Raya), tetapi jika beliau benar-benar bertanggungjawab terhadap tindakannya yang memporak-perandakan keadaan serta tidak menghormati undang-undang, beliau wajar berundur sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri himpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu pencerobohan tanah di Sungai Chalit, Raub pada Isnin.
Kamil menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak gentar dan telah membuat laporan polis terhadap Yu Hui sebagai tanda pendirian tegas dalam mempertahankan prinsip undang-undang.
“Kami tidak gentar walau seinci pun. Ini bukan soal bangsa atau agama, ini soal undang-undang.
“Undang-undang ini terpakai kepada semua. Kalau seseorang tidak tahu menghormati undang-undang, bagaimana dia mahu dihormati?” jelasnya.
Beliau turut mendakwa bahawa tindakan Yu Hui hanyalah bersifat sandiwara untuk meraih sokongan pekebun haram, walaupun beliau sedia maklum tentang batasan undang-undang.
“Pekebun-pekebun haram ini sebenarnya ditipu bulat-bulat. Yu Hui berpura-pura membela mereka kerana beliau tahu undang-undang.
“Kalau beliau tidak tahu undang-undang, sudah tentu beliau tidak layak menjadi YB. Sebagai Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, beliau sepatutnya akur kepada Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya lagi.
Kamil yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub menjelaskan bahawa parti itu konsisten menentang sebarang bentuk pencerobohan tanah sehingga isu berkenaan diselesaikan sepenuhnya.
“Saya dan Dr Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) telah membuat ketetapan – selagi pencerobohan ini diteruskan, kami akan tentang habis-habisan.
“Ini keputusan bersama kami,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

