Sibuk mana pun, jangan sampai abaikan anak

ADUHAI, tersentak penulis membaca pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat baru-baru ini berhubung seorang kanak-kanak baru berusia 11 tahun sudah menghamilkan sepupu yang empat tahun lebih tua daripadanya atas dasar cinta.
Tidak cukup dengan itu, lebih mengejutkan, beliau melaporkan, trend kanak-kanak perempuan mencari lelaki untuk tujuan hubungan intim juga makin membarah.
Malah, dalam satu kes, kanak-kanak perempuan sanggup merakam gambar atau video bogel dan dikongsi kepada lelaki yang baru dikenali melalui media sosial.
Menurut Mohd Yusoff, kes sumbang mahram sangat membimbangkan apabila saban tahun kejadian rogol melibatkan bawah umur yang dilaporkan adalah kerana suka sama suka, bukannya paksaan.
Tahun lepas, sebanyak 252 kes direkodkan manakala 2023 mencatat 206 kes. Lebih membimbangkan, pada dari Januari hingga Mac tahun ini, ia terus meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024.
Ternyata yang berlaku pada saat ini sangat berbeza dengan zaman kanak-kanak penulis ketika era 1990-an. Pada usia 11 tahun itu, penulis dan rakan-rakan masih bermain Sahibba, ketingting dan bola kaki tiga.
Pada usia masih ‘hijau’, kanak-kanak era 1980-an dan 1990-an lebih naif berkaitan isu ini jika hendak dibandingkan dengan generasi alfa atau Gen Y ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun di negara ini pada 2024 ialah 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia (34.06 juta).
Nampaknya, pendedahan ini merupakan wake-up call kepada golongan ibu bapa dan masyarakat. Tugas mendidik generasi muda era ini sangat mencabar dan perlu ditangani dengan rapi.
Antaranya, mempertingkatkan pengawasan terhadap anak-anak pada zaman ledakan teknologi ini. Ibu bapa awasi isi kandungan telefon pintar kerana alat itu paling mudah mempengaruhi pemikiran mereka.
Ini termasuk elemen negatif seperti pornografi yang menjadi faktor terjadinya jenayah seperti hubungan seksual suka sama suka atau rogol melibatkan bawah umur.
Biarpun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki sebarang akaun media sosial, masih ramai yang bolos.
Jika ada, pantau dan kawal apa yang ditonton dan hadkan masa. Malah, ia juga dapat menghalang kerakusan pemangsa mencari kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual dalam talian.
Tidak dinafikan, rakan sebaya amat besar pengaruhnya. Ambil tahu kelompok mana mereka berkawan dan ‘tapis’ akhlak untuk mengelakkan terjerumus kepada perkara merosakkan diri.
Seterusnya, pertingkatkan benteng pertahanan dalam diri anak-anak dengan menerapkan ilmu dan amalan hidup beragama. Jiwa dan rohani mereka perlu diisi dan terapkan tentang batas hubungan lelaki dan perempuan agar tidak terbabas dari landasan syariat Islam.
Ibu dan ayah, sesibuk mana pun beri perhatian kepada anak-anak. Luangkan masa berkualiti bersama kerana anak yang ‘kenyang’ dengan kasih sayang di rumah tidak akan mencari perhatian di luar rumah termasuk hubungan cinta pada usia muda.
Jika ada dalam kalangan ibu bapa sudah berpisah, jangan alpa dan serahkan tugas mendidik kepada orang lain. Usah biar anak menggunakan alasan broken family sebagai titik kemusnahan hidup.
Faktor ini penulis kira hanya kecil tetapi penting. Ajar anak tidur asing seawal usia bukan sahaja dengan ibu bapa, malah dengan adik-beradik lelaki dan perempuan.
Perangi dan jauhi dadah kerana Polis Diraja Malaysia mendedahkan 30 peratus daripada kes rogol dan sumbang mahram disumbangkan oleh masalah itu berdasarkan ujian air kencing.
Zaman kanak-kanak perlu dinikmati dengan momen manis dan tidak seharusnya diisi dengan kenangan yang penuh trauma serta kerosakan. Semua pihak termasuk masyarakat perlu cakna menanganinya sebelum nasi menjadi bubur.
*Azma Mohd Lazim ialah Wartawan SinarPlus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!