Apabila kanak-kanak mula ketagih pornografi

Ketagihan pornografi dalam kalangan budak biasanya bermula tanpa sengaja – melalui iklan tidak senonoh, video pop-up atau pautan dalam permainan dalam talian. Foto hiasan
Ketagihan pornografi dalam kalangan budak biasanya bermula tanpa sengaja – melalui iklan tidak senonoh, video pop-up atau pautan dalam permainan dalam talian. Foto hiasan
A
A
A

DALAM dunia serba digital hari ini, akses kepada maklumat di hujung jari menjadi satu kelebihan besar.

Namun di sebalik kemajuan ini, tersembunyi satu ancaman yang semakin meruncing iaitu ketagihan pornografi dalam kalangan kanak-kanak.

Isu ini bukan lagi fenomena di luar negara tetapi sedang menular secara senyap dalam masyarakat Malaysia.

Ketagihan pornografi dalam kalangan budak biasanya bermula tanpa sengaja – melalui iklan tidak senonoh, video pop-up atau pautan dalam permainan dalam talian.

Kajian oleh CyberSecurity Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak dalam aduan berkaitan eksploitasi seksual dalam talian, termasuk kes kanak-kanak terdedah kepada bahan lucah.

Lebih membimbangkan, pendedahan awal ini boleh menyebabkan perubahan besar dalam pemikiran, tingkah laku dan emosi anak-anak.

Tanpa kita sedar, banyak kes rogol melibatkan budak bawah umur berlaku di sekeliling kita. Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada Khamis, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan, kes rogol di negeri itu sangat membimbangkan apabila kanak-kanak perempuan yang mencari lelaki untuk mengadakan hubungan intim kini menjadi satu trend.

Menurut beliau, kanak-kanak perempuan seawal usia 10 tahun terlibat, manakala lelaki pula berusia 11 tahun.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, katanya, terdapat satu kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengandungkan sepupunya yang baru berusia 15 tahun.

Hasil siasatan polis mendapati terdapat video, gambar pornografi dalam telefon kedua-dua mereka.

Jika dahulu, kanak-kanak ketika berusia 11 tahun hanya pandai main kahwin olok-olok, tapi budak sekarang sudah terlalu advance sehingga ‘kahwin betul-betul’.

Pada tahun 2020, media tempatan turut melaporkan kes seorang pelajar sekolah rendah yang mencabul rakan sekolahnya selepas menonton video lucah yang dimuat turun melalui telefon bimbit.

Dalam satu lagi kes di Selangor, seorang murid Tahun 6 ditangkap kerana merakam rakan perempuannya di tandas menggunakan telefon pintar – semuanya berpunca daripada ketagihan terhadap bahan lucah yang ditemui di media sosial.

Kawalan

Antara punca utama kepada ketagihan ini ialah kekurangan kawalan dan pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan gajet oleh anak-anak.

Ramai ibu bapa memberikan telefon pintar kepada anak seawal usia lima tahun tanpa menyedari risiko kandungan digital yang tidak sesuai.

Selain itu, pendidikan seks yang kurang menyeluruh di sekolah menyebabkan kanak-kanak mencari jawapan melalui sumber tidak sah seperti pornografi.

Kesan psikologi terhadap budak yang ketagih pornografi sangat serius. Kajian psikologi menunjukkan bahawa pendedahan berulang kepada bahan lucah boleh menyebabkan perubahan dalam struktur otak – sama seperti ketagihan dadah.

Seperti yang dikongsi Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj, ketagihan menonton pornografi boleh merencatkan tumbesaran selain memberi kesan terhadap kesihatan mental kanak-kanak. Ini kerana mental dan fizikal kanak-kanak di bawah usia 12 tahun masih dalam proses perkembangan.

Untuk membendung gejala ini, pendekatan menyeluruh amat diperlukan. Ibu bapa mesti memainkan peranan utama memantau kandungan yang diakses anak, menggunakan perisian penapis kandungan dan lebih penting, membina hubungan komunikasi terbuka agar anak-anak tidak segan untuk bertanya soal seksualiti.

Sekolah pula perlu memperkukuh pendidikan kesedaran siber serta memperkenalkan modul pendidikan seksual bersesuaian dengan usia.

Di pihak kerajaan juga harus memainkan peranan dengan memperketatkan undang-undang terhadap laman sesawang lucah, serta menyediakan lebih banyak saluran bantuan psikologi untuk kanak-kanak yang terjejas.

Isu budak ketagih pornografi tidak boleh dipandang ringan. Ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi melindungi generasi muda daripada menjadi mangsa kepada dunia digital yang tidak terkawal.

*Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!