Pak Lah dimasukkan ke IJN pagi Ahad kerana sukar bernafas

Jenazah Allahyarham bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, dibawa keluar dari Institut Jantung Negara untuk di bawa ke rumah beliau di ibu negara malam Isnin. Foto Bernama
Jenazah Allahyarham bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, dibawa keluar dari Institut Jantung Negara untuk di bawa ke rumah beliau di ibu negara malam Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

IJN dalam kenyataan itu memaklumkan, Abdullah telah segera ditempatkan di bawah rawatan rapi di Unit Penjagaan Koronari (CCU) dan beliau dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung IJN yang berdedikasi.

"Walaupun segala usaha perubatan telah telah dilakukan, beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang, dikelilingi oleh insan tersayang," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dalam kenyataan yang sama berkata, seluruh warga IJN bersama-sama kesedihan atas pemergian Abdullah.

"Menjaga beliau pada saat-saat akhir menjadi satu keistimewaan dan penghormatan.

"Sikap rendah diri dan budi pekertinya menyentuh hati ramai kakitangan kami dan kami merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang.

"Semoga beliau bersemadi dengan tenang, al-Fatihah," katanya.

Pakar Perunding Kardiologi yang merawat Abdullah yang juga Ketua Jabatan Kardiologi, Datuk Dr Azmee Ghazi berkata, bekas Perdana Menteri itu sentiasa berada dengan kekuatan dalaman dan maruah yang tinggi.

"Malah pada detik-detik akhir beliau, Abdullah tetap tenang dan berbudi bahasa. Ia benar-benar satu penghormatan buat pasukan kami untuk berada di sisi beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu IJN dengan penuh hormat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Abdullah dan memohon agar privasi mereka dihormati dalam tempoh berkabung ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa pihak keluarga dan Kerajaan Malaysia akan berkongsi maklumat mengenai urusan pengebumian serta pengumuman rasmi dalam masa terdekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!