Menteri, menteri besar, ketua menteri ucap takziah pemergian Pak Lah

Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam ini. Foto Bernama
Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa menteri besar, ketua menteri dan menteri menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Isnin.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan menyifatkan negara kehilangan seorang pemimpin berjiwa besar yang telah memimpin negara dengan penuh integriti, keikhlasan dan visi yang jelas untuk kemajuan Malaysia.

“Sesungguhnya Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang telah memimpin dengan penuh integriti, keikhlasan dan visi yang mendalam untuk kemajuan negara.

"Jasa Allahyarham Pak Lah akan terus dikenang dan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Selain itu, ucapan takziah turut diucapkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di laman Facebooknya pada malam Isnin.

Dalam ucapannya itu, Kon Yeow berkata, kehilangan Allahyarham Abdullah merupakan satu kehilangan buat negara terutamanya Pulau Pinang.

"Saya bagi pihak Kerajaan Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Malaysia Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atas pemergian beliau sebentar tadi.

"Pemergian Tun Abdullah merupakan suatu kehilangan besar kepada negara terutamanya Pulau Pinang.

"Semoga semua jasa dan bakti yang telah dicurahkan beliau dalam membangunkan negara serta negeri ini akan sentiasa tersemat di dalam sanubari seluruh rakyat Malaysia dan Pulau Pinang. Takziah," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut tidak ketinggalan menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah di atas pemergian mengejut beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara memandangkan Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa tenang, sederhana, dan sentiasa mengutamakan perpaduan serta kesejahteraan rakyat.

"Sumbangan beliau dalam pembangunan negara dan pemerkasaan nilai Islam Hadhari akan terus terpahat dalam lipatan sejarah tanah air.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya melalui Facebook.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed menyifatkan Allahyarham Pak Lah telah mengemukakan banyak jasa kepada rakyat negara ini.

Menurutnya, antara jasa-jasa besar terbabit adalah dengan menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi, pengenalan konsep Islam Hadhari, penilaian J-Qaf serta sentiasa memaparkan ciri-ciri pemimpin berjiwa besar dengan tahap kesabaran amat tinggi.

"Sebagai Menteri bertanggungjawab kepada Unit Pembangunan Ekonomi (EPU) saya bantu Allahyarham menggubal (Rancangan Malaysia Kesembilan) RMK9 dengan penekanan kepada nilai-nilai murni dan modal insan.

"Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan turut diumumkan oleh Allahyarham dalam Parlimen. Saya diamanahkan untuk melaksanakan penubuhannya semasa (menjadi) Menteri Pengajian Tinggi.

"Minat kepada pertanian yang amat tinggi membolehkan saya menjalankan tugas sebagai Menteri Pertanian sebaik mungkin. Terima kasih atas bimbingan, nasihat serta kepimpinan. Semoga Allah menganugerahkan syurga kepada insan yang amat murni dan amat baik hati ini. Al-Fatihah," katanya.

Allahyarham Pak Lah meninggal dunia di usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau pada Isnin.

Berita pemergian arwah disambut dengan rasa sedih oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengenang jasa dan sumbangannya terhadap negara.g

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!