Isu vaksin Covid-19: Keputusan saman KJ ditangguh berikutan pemergian Pak Lah

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menangguhkan keputusan kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin Covid-19 kepada 18 April ini.
Ini berikutan pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mentua Khairy, 49.
Ketika dihubungi media, peguam, Abdul Rashid Ismail yang mewakili Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dijadual menyampaikan keputusan kes terbabit pada jam 9 pagi Selasa.
Bagaimanapun beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan keputusan ke tarikh lain.
"Ya, saya sahkan ini, prosiding ditangguhkan kerana pemergian Tun Abdullah dan keputusan ditetapkan pada Jumaat ini," katanya.
Abdullah meninggal dunia di usia 85 tahun pada jam 7.10 petang, Isnin, di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Khairy yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram.
Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dimaklumkan sudah dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah sakit tua dihadapinya sebelum ini.
Ahli politik itu mengalami demensia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah beliau tidak lagi dapat mengingati nama dan wajah ahli keluarganya.
Abdullah meninggalkan seorang isteri, Tun Jeanne Abdullah dan dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu dengan Allahyarhamah Endon Mahmood iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori.
Anak perempuannya, Nori mendirikan rumah tangga dengan Khairy.
Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari 2022 lalu.
Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.
Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari 2022.
Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.
Dalam pada itu, Abu Syafiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa dia akan memadam segala hantaran dan video vaksin berkait dengan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Bagaimanapun pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!