PDRM digesa perbanyak latihan integriti, elak pegawai terjebak rasuah

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa memperbanyak latihan integriti khusus kepada pegawai berisiko tinggi seperti di bahagian pencegahan jenayah dan pengurusan trafik untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kesalahan rasuah.
Naib Presiden Wanita, Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), NurSabrina. Azuddin berkata, perkara tersebut penting susulan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang direman berhubung dakwaan menerima rasuah sebanyak RM10,000 baru-baru ini.
“PPN selaku pertubuhan yang memperjuangkan tadbir urus baik dan integriti mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk rasuah, terutamanya melibatkan pegawai penguat kuasa undang-undang.
“Kes ini harus jadi amaran kepada semua pegawai awam. Rasuah bukan sahaja jenayah tetapi pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Kami menggalakkan orang ramai untuk berani melapor sebarang salah laku melalui saluran rasmi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau platform aduan PDRM. PPN akan terus memantau perkembangan kes ini dan sedia memberi kerjasama untuk sebarang usaha memerangi rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, seorang pegawai polis berpangkat inspektor direman tiga hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta rasuah RM10,000 daripada keluarga mangsa kes rogol.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, NurSabrina meluahkan kerisauan kerana kes tersebut berpotensi menggagalkan siasatan jenayah serius seperti rogol, sekali gus mengorbankan maruah mangsa yang memerlukan perlindungan undang-undang.
Jelasnya, kesan langsung kepada rasuah dalam siasatan rogol boleh menyebabkan bukti sengaja dihilangkan, seperti laporan forensik, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi penting yang dipengaruhi untuk menarik balik kenyataan.
“Statistik PDRM 2022 menunjukkan, sebanyak 15 peratus kes rogol ditutup tanpa dibawa ke mahkamah atas alasan 'kekurangan bukti', angka yang mencurigakan jika dikaitkan dengan potensi rasuah. Kami menggesa, pembentukan Jawatankuasa Bebas untuk menyemak semula kes rogol yang ditutup tanpa keputusan jelas," katanya.
Justeru beliau berkata, PPN akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak wanita untuk memastikan tiada lagi mangsa rogol menjadi korban kedua sistem yang pincang.
“Wanita Malaysia, hak anda untuk dilindungi, bukan diperas ugut! Laporkan, bersuara dan berdiri teguh! Cukuplah menjadikan kuasa sebagai lesen menindas! Rakyat perlukan pelindung, bukan pemeras! Jangan takut bersuara, negara ini milik kita, bukan milik perasuah!,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
