NGO belia lapor SKMM masalah telekomunikasi di Kampar

IPOH – Kelab Belia Malim Nawar menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Perak bagi mendesak tindakan segera diambil terhadap masalah liputan talian telefon dan internet yang berlarutan di kawasan Parlimen Kampar.
Pengerusinya, Abdul Hadi Azman berkata, langkah itu diambil susulan pelbagai aduan diterima daripada penduduk yang kecewa dengan mutu perkhidmatan telekomunikasi meskipun kawasan mereka dilengkapi infrastruktur moden seperti gentian optik.
“Kajian lapangan yang kami jalankan mendapati hampir 90 peratus daripada 1,200 responden tidak berpuas hati dengan liputan serta kualiti perkhidmatan internet dan telefon termasuk di kawasan bandar dan pekan.
“Antara lokasi yang terjejas teruk ialah Taman Mahkota Kampar, Kampung Jelutong Malim Nawar, Kampung Tebing Tinggi dan Taman Bandar Baru Kampar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, memorandum yang dikemukakan turut menyenaraikan beberapa cadangan termasuk audit menyeluruh ke atas penyedia perkhidmatan (telco), penubuhan Unit Aduan Khas SKMM Negeri, kajian teknikal terperinci, pelan tindakan penambahbaikan liputan serta pemberian insentif kepada telco yang melabur di kawasan kurang liputan.
“Kami tidak boleh berkompromi apabila aspek penting kehidupan seperti pembelajaran, kerja jarak jauh, urusan perniagaan dan seharian yang kini bergantung sepenuhnya pada capaian digital terganggu.
“Ini soal hak asas rakyat terhadap akses komunikasi yang berkualiti dan adil,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyeru pihak SKMM dan syarikat telekomunikasi agar mengambil langkah segera menyelesaikan isu berkenaan demi kesejahteraan penduduk di Parlimen Kampar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

