Kes bunuh pelajar kolej vokasional: Tertuduh lihat mangsa dimarahi, ditolak

TAWAU - Tertuduh ke-10 dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia ada melihat mangsa sedang dimarahi dan ditolak ketika berada di bilik asrama 5 Belian.
Bagaimanapun, beliau yang juga saksi pembelaan ke-12 berkata, dia tidak dapat memastikan siapa pelajar terlibat, kerana keadaan bilik asrama yang gelap pada malam tersebut.
"Di bilik itu, saya juga ada cuba untuk menepis mangsa di bahagian bahu tapi tidak kena,” katanya dalam pernyataan saksi bagi perbicaraan kes berkenaan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, di sini pada Isnin.
Pada 28 Februari, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat atau Ijat, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.
Kesemua remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu dalam pernyataan saksi, tertuduh ke-10 itu juga berkata kali terakhir dia melihat Mohamad Nazmie Aizzat, selepas cuba memeriksa nadi mangsa di bilik asrama 7 Belian.
"Lebih kurang 3 pagi semasa saya sedang tidur, tertuduh kelima mengejutkan saya untuk melihat keadaan mangsa di bilik asrama 7 Belian. Saya melihat mangsa sedang tidur, saya dapati mangsa masih bernafas dan saya periksa nadi mangsa,” katanya.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri, tertuduh ke-10 itu memberitahu mahkamah beliau memeriksa nadi Mohamad Nazmie Aizzat, kerana ada yang mengatakan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Batrisyia: Siapa yang mengatakan perkara tersebut?
Saksi: Tidak ingat
Batrisyia: Sekiranya betul nadi Ijat masih ada, apa kamu rasa lepas kamu periksa nadi dia?
Saksi: Seperti orang normal yang tidur.
Sementara itu, tertuduh ke-10 tidak bersetuju dengan cadangan Batrisyia bahawa dia memeriksa nadi Ijat kerana risau disebabkan sebelum itu telah memukul mangsa.
Terdahulu, tertuduh ke-10 juga bersetuju dengan pertanyaan Batrisyia bahawa dia berkawan baik dengan mangsa dan berasa kecewa dengan Mohamad Nazmie Aizzat, berhubung kecurian duit tertuduh ketiga dan keempat.
Selain Batrisyia, kes pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Juhn Tao.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidim, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
