Malaysia terajui AYOS 2025, perkasa kemahiran rantau ASEAN

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, HRD Corp, Datuk Shahul Dawood (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian The ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 di Connexion Conference & Event Centre (Nexus), Bangsar, Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, HRD Corp, Datuk Shahul Dawood (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian The ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 di Connexion Conference & Event Centre (Nexus), Bangsar, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia secara rasminya melancarkan The ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, iaitu inisiatif pembangunan modal insan sepanjang tahun di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia.

Program tersebut dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Azman.
Azman.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, pelancaran tersebut merupakan satu inisiatif yang mencerminkan komitmen bersama negara ASEAN ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua tetamu, duta besar dan pesuruhjaya tinggi yang hadir hari ini sebagai tanda sokongan kepada AYOS 2025. Sedikit makluman, AYOS 2025 adalah hasil inspirasi daripada kejayaan The European Year of Skills dan The African Union’s ‘Year of Skills’.

“Ia mengambil masa dan usaha yang panjang untuk merealisasikan AYOS 2025 buat kali pertama di ASEAN dan lebih penting lagi, untuk dibawa ke Malaysia dan dikendalikan oleh rakyat ASEAN sendiri.

“Terima kasih khusus kepada menteri yang telah memberikan mandat dan kepercayaan sepenuhnya untuk kami memulakan serta membawa balik inisiatif ini ke Malaysia. Ini adalah program yang sangat penting, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga seluruh rantau ASEAN,” katanya di program berkenaan di Connexion Conference & Event Centre (Nexus), Bangsar, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Hadir sama, ialah wakil daripada Negara Anggota ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Penyelaras Kebangsaan yang dilantik, duta negara dan wakil daripada pihak industri.

Menurut beliau, program yang dilaksanakan dengan kerjasama ILO itu sangat bertepatan dengan Malaysia dan untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi serta berasaskan pengetahuan dalam kerangka ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Jelas Shahul, AYOS 2025 membuka peluang kepada penyedia latihan, jurulatih dan tenaga pengajar untuk berkembang ke peringkat serantau.

“Sebagaimana yang diumumkan oleh menteri semasa rumah terbuka baru-baru ini, HRD Corp mencatat prestasi cemerlang pada tahun 2024 dengan kutipan levi sebanyak RM2.4 bilion dan berjaya melatih hampir dua juta orang.

“Antara matlamat utama AYOS 2025 adalah pembangunan pembelajaran yang mampan, inklusif dan mobiliti bakat yang boleh merentas sempadan ASEAN.

“Kami juga mahu memastikan penyedia latihan tidak hanya tertumpu di Malaysia, tetapi dapat berkembang ke peringkat ASEAN dan begitu juga pasaran ASEAN boleh menyumbang ke Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, beliau yakin ASEAN dengan populasi dan entiti korporat yang kukuh, boleh mencapai impak lebih baik untuk mereka yang menghadapi kesukaran dalam pembelajaran serta pembangunan diri.

“Apabila sektor korporat bersatu dan bekerjasama, kita boleh menjadikan pembelajaran sebagai satu keperluan, bukan lagi satu kemewahan, untuk rakyat ASEAN, terutamanya di Malaysia,” kata beliau.

Sementara itu, Azman berkata, AYOS 2025 merupakan seruan untuk bertindak kepada kerajaan, industri, institusi dan komuniti agar bersatu dalam membina tenaga kerja ASEAN yang bersedia untuk masa hadapan.

“Pelancaran ini bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi satu lambang yang kuat terhadap misi bersama kita untuk memperkasa tenaga kerja serantau dan membina ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.

“Kita adalah rumah kepada lebih 698.9 juta penduduk dengan usia median 30.9 tahun golongan muda, penuh cita-cita dan bersedia membentuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Kata beliau, inisiatif itu memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama termasuk merapatkan jurang kemahiran, mempromosi mobiliti bakat dan memastikan pertumbuhan inklusif.

Beliau juga yakin dengan kerjasama antara negara ASEAN, ia mampu berkongsi kepakaran, pengalaman dan kemahiran unik dari setiap negara.

“Kita tahu bahawa penyedia latihan kita setanding daripada segi kualiti dan saya percaya kita mampu bekerjasama.

“Mari kita kurangkan halangan, kurangkan kerenah birokrasi. Supaya kerjasama kita berjalan lancar dan memastikan AYOS 2025 dilaksanakan dengan jayanya,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!