Warga Malaysia rompak kedai emas di Thailand ada 10 rekod jenayah, bunuh

Warga Malaysia yang ditahan selepas terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Bangkok, Thailand pada Selasa lalu. - FOTO PDRM
Warga Malaysia yang ditahan selepas terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Bangkok, Thailand pada Selasa lalu. - FOTO PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia ditahan pihak keselamatan Thailand kerana terlibat kes rompakan kedai emas di Hat Yai pada Rabu lalu disahkan mempunyai 10 rekod jenayah lampau di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 62 tahun berasal dari Kulim, Kedah itu mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kes bunuh dan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Menurutnya, pihak PDRM sedang melakukan semakan terhadap kertas siasatan membabitkan jenayah dilakukannya di negara ini, sebelum proses ektradisi diambil terhadap lelaki terbabit.

Begitupun, beliau berkata, PDRM ketika ini menyerahkan terlebih dahulu suspek kepada pihak berkuasa Thailand berhubung siasatan kes rompakan emas di negara itu.

"Kita (polis) telah dimaklumkan mengenai penahanan suspek, sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok atas kesalahan samun bersenjata di Hat Yai.

"Suspek kini masih berada di lokap Hat Yai untuk siasatan lanjut, sementara kita (polis) sedang meneliti lanjut kesalahan dilakukannya di negara ini bagi tindakan ektradisi, seterusnya mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan yang dilakukannya di negara jiran," katanya pada Isnin.

Razarudin berkata, lelaki terbabit juga tidak lagi tinggal di Malaysia, malah dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di negara jiran.

Menurut beliau, semasa tangkapan dilakukan, lelaki terbabit dikesan memiliki kad pengenalan palsu negara Thailand dan tidak ada MyKad atau passport Malaysia ditemukan bersamanya.

Pada 9 April lalu, polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas di daerah Nonthaburi, Bangkok ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai.

Artikel Berkaitan:

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Kolonel Polis Anusorn Thongsai dilaporkan berkata, suspek dipercayai rakyat Malaysia disyaki merompak sebuah kedai emas sebelum melarikan diri ke Bangkok.

Suspek ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Beliau dilaporkan berkata, suspek cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa berada di Thailand.

Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok, seterusnya menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Anggota polis Thailand berjaya menahan suspek jam 6.30 petang waktu tempatan bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup.

Suspek juga bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai, jam 11.50 pagi sehari sebelum dia ditahan.

Suspek menggunakan pistol untuk melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta Baht (RM1.17 juta).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!