Srikandi Bersatu fokus pengundi UMNO tawan DUN Ayer Kuning

KUALA SELANGOR – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyasarkan penyokong UMNO sebagai kumpulan pengundi utama dalam usaha memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Penerangannya, Nurul Syazwani Noh berkata, PN memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus sokongan daripada pengundi UMNO untuk merampas kerusi tersebut.
Menurut beliau, strategi gerak kerja Srikandi Bersatu kini lebih tertumpu ke arah mendekati kumpulan berkenaan.
“Berdasarkan analisis keputusan pilihan raya lalu, kami tidak boleh terlalu bergantung kepada undi pengundi muda.
“Undi penyokong UMNO perlu dijadikan keutamaan kerana mereka penentu utama kemenangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, petang Ahad.
Kira-kira 5,000 tetamu termasuk pemimpin pelbagai fahaman politik khususnya dari Bahagian Tanjong Karang hadir pada majlis berkenaan.
Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang berkata, sejak awal lagi pihaknya telah membuat persiapan menerusi beberapa siri turun padang dan program bersama Srikandi Bahagian Tapah serta Srikandi Negeri Perak.
Beliau berkata, walaupun tumpuan turut diberikan kepada pengundi muda menerusi program yang digerakkan sayap Srikandi Muda, peningkatan pendaftaran kira-kira 12 peratus dalam kalangan mereka masih belum cukup signifikan untuk memberi kelebihan kepada PN.
“Kami akan terus mempergiat usaha melalui pendekatan lebih menyeluruh termasuk kerja lapangan dan program mendekati semua lapisan pengundi.
“Walaupun laluan ini tidak mudah, kami optimis dengan peluang kemenangan jika strategi dan perpaduan diperkukuh,” tambah beliau.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh 14 hari berkempen, dengan pengundian awal pada 22 April manakala hari mengundi pada 26 April.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani berkata, pihaknya turut terpanggil menghulurkan bantuan guaman dan perjanjian sewaan secara percuma kepada mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya sebagai langkah segera meringankan beban penduduk yang kehilangan tempat berteduh.
Menurut beliau, inisiatif itu dilancarkan selepas mengambil kira kesukaran mangsa mendapatkan kediaman baharu serta menguruskan urusan sewaan secara selamat dari sudut perundangan.
“Sebagai pengamal undang-undang, saya faham kehilangan tempat berteduh bukan perkara kecil. Sebab itu kami menyediakan bantuan guaman dan perjanjian sewaan secara percuma kepada mangsa tragedi ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

