PRK DUN Ayer Kuning: Polis Perak terima tiga laporan

Zaharudin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar harian di Dewan Sri Tapah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Selasa.
Zaharudin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar harian di Dewan Sri Tapah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Polis Perak mengesahkan menerima tiga laporan yang dibuat oleh orang awam dan wakil parti politik setakat hari ketiga Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Jurucakap Polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zaharudin Rasip berkata, laporan tersebut antaranya berkaitan dengan ‘bunting’ parti politik yang mengganggu pandangan penduduk di persimpangan jalan besar di Mambang Di Awan, Kampar.

Selain itu, pihakn polis turut menerima laporan mengenai calon Perikatan Nasional (PN) bergambar bersama penduduk dan dijadikan poster kempen, sedangkan individu berkenaan dipercayai penyokong parti lawan.

“Untuk kes ketiga, pengadu membuat laporan polis meminta Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) memberikan kenyataan tentang isu tauliah calon PN. Namun, kami menyerahkan perkara itu kepada MAIPk untuk memberikan penjelasan.

“Bagi kes pertama, iaitu ‘bunting’ yang mengganggu pandangan, wakil parti telah menurunkannya dan kes selesai. Kes kedua juga sama, poster PN sudah diturunkan.

“Jadi, kami sekali lagi menasihatkan semua penyokong parti dan calon untuk terus mematuhi peraturan, tidak menimbulkan provokasi atau memainkan isu sensitif serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar harian di Dewan Sri Tapah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini pada Selasa.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu minggu lalu.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas pencalonan daripada tiga individu bagi pemilihan di kerusi N48 tersebut sebaik tempoh berakhir pada jam 10 pagi.

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, yang mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

Sementara itu, Zaharudin memaklumkan, pihaknya menerima 23 permohonan permit ceramah dari hari penamaan calon sehingga Selasa.

Tambahnya, 18 daripada permohonan itu merupakan permohonan baharu yang dibuat pada Isnin dan kesemuanya diluluskan.

“Saya nasihatkan mana-mana parti untuk memohon permit kempen dan ceramah seawal mungkin bagi memudahkan urusan semua pihak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!