Isu Sungai Golok, krisis Myanmar jadi fokus lawatan PM ke Bangkok

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan serta Agensi di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto: Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan serta Agensi di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri dijangka berlepas ke Bangkok, Thailand sehari selepas lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu ini bagi membincangkan isu Sungai Golok yang sering mengakibatkan banjir di selatan Thailand dan Kelantan.

Berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, mesyuarat itu akan turut menyentuh isu kerja-kerja tebatan, pengorekan dan pembersihan sungai yang memberi kesan kepada kehidupan penduduk di kedua-dua negara.

“Saya akan ke Bangkok untuk menyelesaikan masalah Sungai Golok dan Rantau Panjang melibatkan tebatan, pengorekan serta pembersihan sungai yang menyebabkan kebanjiran di kawasan selatan Thailand dan Kelantan,” katanya.

Perdana Menteri turut dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Myanmar, Senior General Min Aung Hlaing pada keesokan harinya sejurus tiba di Bangkok.

“Buat pertama kalinya, seorang ketua ASEAN akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Myanmar,” kata Anwar.

Jelas beliau, meskipun ASEAN masih berpegang kepada Konsensus Lima Perkara sebagai syarat utama kerjasama dengan Myanmar, pertemuan itu diadakan atas dasar kemanusiaan.

“Jemaah Menteri turut bersetuju untuk meneruskan bantuan menerusi hospital medan yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan bersama Aung Hlaing adalah cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata.

“Mudah-mudahan dalam perbincangan saya dengan Perdana Menteri Myanmar pada 17 April ini, saya akan minta gencatan senjata dilanjutkan kerana kita mahu menghantar pasukan SMART dan menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pasukan SMART diiktiraf sebagai antara pasukan penyelamat terbaik di ASEAN.

“Alhamdulillah, terima kasih juga kepada rakan-rakan atas dua faktor kejayaan pasukan SMART, iaitu latihan dan kelengkapan yang dibawa untuk memasuki kawasan yang sukar dimasuki oleh pasukan negara jiran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menangkis pandangan sinis sesetengah pihak yang mempersoalkan keprihatinan kerajaan terhadap krisis luar negara berbanding isu dalam negara, khususnya berkaitan Myanmar.

“Kalau masalah Myanmar tidak diselesaikan, kesannya akan sampai ke sini apabila lebih 200,000 pelarian Rohingya datang ke Malaysia. Penyeludupan candu dan opium juga akan meningkat.

“Rundingan antara dua negara dan ASEAN agak terbatas, jadi kita perlukan kebijaksanaan untuk merangkul kekuatan bersama,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!