'Ini Aidilfitri pertama dan terakhir kami'

JOHOR BAHRU - "Tak sangka ini Aidilfitri pertama dan terakhir kami sebagai suami isteri."
Demikian luahan hiba Suhaidah Yusof, 40, isteri kepada seorang penghantar makanan, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika cuba mengawal lalu lintas berhampiran stesen minyak Taman Desa Jaya di sini pada awal pagi Ahad.
Menurut Suhaidah, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Batu setelah menikmati makan malam bersama rakan-rakan suaminya itu di Desa Cemerlang.
Bagaimanapun katanya, dalam perjalanan itu, mereka terlihat satu kemalangan kecil di lokasi dan dia memberhentikan kereta dan suaminya turun membantu mengawal lalu lintas.
"Masa tu saya yang bawa kereta dan saya masih tunggu dalam kereta, tapi tiba-tiba, saya dengar satu bunyi kuat kenderaan langgar sesuatu.
"Masa tu ada orang datang bagitahu suami saya kena langgar dan saya terus keluar kereta... saya nampak dia terbaring dan itulah kali terakhir saya tengok dia hidup-hidup.
"Kemudian, saya terus hubungi adik ipar untuk maklumkan kejadian yang berlaku," katanya di unit forensik di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada petang Ahad.

Tambah Suhaidah dalam nada sebak, mereka baru mendirikan rumah tangga tujuh bulan lalu dan ini merupakan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri.
Malah katanya, mereka juga sempat melakukan sesi fotografi atau (photoshoot), bersama.
“Kami sempat ‘photoshoot’ raya tahun ini, gembira sangat sebab akhirnya dapat raya bersama sebagai pasangan suami isteri yang sah.
"Tapi saya tak sangka, semua tu dan gambar kami akan jadi kenangan terakhir kami berdua,” katanya.
Sementara itu, Suhaidah berkata, tiada sebarang perubahan pelik sebelum kemalangan tersebut.
Namun katanya, pada malam Jumaat lalu, suaminya dilihat terbaring di luar rumah dan banyak termenung selain tidak banyak bercakap.
“Malam Jumaat lalu, dia cakap panas badan dan pening kepala, dia banyak terbaring dan berdiam diri tak banyak cakap.
“Malam semalam (Sabtu) keluar pusing-pusing dan makan bersama kawan-kawan dia cakap hilang dah sakit kepala dia.
"Apa pun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Difahamkan, proses bedah siasat telah selesai dan jenazah Allahyarham Mohd Taufik akan di bawa pulang ke Kota Tinggi untuk dikebumikan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Mohd Taufik dilanggar sebuah kereta jenis BMW ketika sedang membantu mengawal lalu lintas susulan berlaku kemalangan di lokasi berhampiran stesen minyak Taman Desa Jaya.
Akibat perlanggaran itu, Mohd Taufik yang berasal dari Kampung Lukut, Kota Tinggi, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan, pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang awam kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

