Johor tertinggi keluarkan MyKad generasi baharu

KULAI - Johor mencatatkan jumlah tertinggi pengeluaran MyKad generasi baharu dengan 31,392 kad dikeluarkan sejak pelancaran inisiatif itu pada 17 September lalu hingga 20 Oktober.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu mengatasi Kuala Lumpur yang merekodkan 29,601 kad, diikuti Selangor (26,736), Sarawak (25,642) dan Sabah (22,523).
"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan keseluruhan 275,785 MyKad generasi baharu dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.
"MyKad generasi baharu diperkenalkan dengan penambahbaikan ciri keselamatan daripada 23 kepada 53 ciri berbanding kad terdahulu.
"Antara ciri keselamatan baharu itu termasuk tingkap lutsinar, kod QR, ciri ultraviolet, hologram dan mikroteks," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Ke-78 dan Peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) Berserta Peluncuran Sekolah Angkat Madani (SAM) di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak, pada Sabtu
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar MyKad masing-masing kerana JPN memberi jaminan bekalan kad mencukupi bagi memenuhi permintaan.
Jelasnya, JPN menerima purata 200,000 permohonan sebulan bagi pelbagai urusan termasuk permohonan kad pengenalan baharu, penggantian kad rosak dan penggantian MyKad bagi mereka yang mencapai umur 18 tahun.
Beliau berkata, pemilikan MyKad juga semakin penting berikutan pelbagai inisiatif kerajaan yang memerlukan penggunaannya, termasuk pembelian minyak, minyak masak dan penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

