Suami isteri maut, tak sempat elak kereta hilang kawalan

Keadaan Perodua Axia serta motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan pada Rabu.
Keadaan Perodua Axia serta motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan pada Rabu.
A
A
A

JEMPOL - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaikinya tidak sempat mengelak kereta hilang kawalan di Kilometer 17 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian jam 2.60 petang Rabu, pasangan berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Simpang Pertang hilang kawalan ketika melalui selekoh.

"Setiba di lokasi kejadian, kereta telah hilang kawalan dan berpusing secara melintang masuk ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, motosikal dinaiki mangsa berusia 28 tahun serta isteri, 40 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian sisi kiri kereta tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.

Pihak polis meminta saksi kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!