Kali pertama dan terakhir isteri pulang ke kampung pada Ramadan selepas 19 tahun kahwin

JASIN - [DIKEMAS KINI] Biarpun berat untuk menerima pemergian isteri ketika beberapa hari lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun seorang bapa tunggal reda menerima ujian tersebut.
Bapa kepada empat orang anak, Tengku Syafarin Tengku Abdullah, 45, berkata, sejak minggu lalu isterinya, Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, begitu teruja menyiapkan pakaian raya untuk mereka sekeluarga sedondon berwarna ungu.
Malah menurutnya, selama 19 tahun mereka mendirikan rumah tangga, namun ini pertama kali dan terakhir mereka pulang menjalani ibadah Ramadan di Kuala Berang, Terengganu pada 14 Mac lalu.
"Selama ini setiap kali Ramadan saya tak pernah pulang ke kampung saya di Terengganu dan secara tiba-tiba tahun ini isteri mengajak ke sana.
"Tapi rupanya itulah kenangan pertama dan terakhir kami sekeluarga menyambut Ramadan di Terengganu, biarpun berat untuk menerima ujian ini, namun saya perlu kuat demi anak-anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Jalan Datok Nawar, Merlimau, di sini, pada Rabu.
Mengimbau kembali sebelum insiden yang meragut nyawa isterinya, Tengku Syafarin berkata, pagi itu arwah sempat menghantar jualan kuih raya kepada pelanggan di Kampung Tedong sebelum membeli barangan dapur bagi membuat kuih dan persiapan berbuka puasa.
Menurutnya, arwah memberitahu mahu keluar sekejap untuk menghantar anak ke sekolah dan memesan kepadanya untuk menjaga anak bongsu sementara dia keluar dengan menunggang motosikal.
"Dia kata keluar sekejap, tapi bila saya tunggu lama dia di rumah hati mula berasa tidak sedap.
"Apabila seorang jiran datang memberitahu bahawa motosikal isteri saya terlibat dalam kemalangan terus saya tak keruan," katanya lagi.
Jelasnya, setiba di lokasi kejadian, dia melihat susuk tubuhnya isterinya sedang diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun arwah disahkan meninggal dunia.
"Siapa yang tak sedih dalam umat Islam nak menyambut hari raya tidak lama lagi, kami kehilangan orang tersayang dan kejadian berlaku kira-kira dua kilometer dari rumah kami,” katanya lagi.
Pemergian Noor Faradhillah meninggalkan empat orang anak berusia antara 19 tahun dan bayi enam bulan.
Sinar Harian pada Isnin lalu, melaporkan mangsa maut selepas menghantar anaknya ke sekolah apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka- Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau.
Kejadian yang berlaku jam 8.40 pagi menyebabkan mangsa Noor Faradhillah maut di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!