Suasana pilu menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah

Tangkap layar video dimuat naik di Facebook N9 RADAR pada Jumaat.
Tangkap layar video dimuat naik di Facebook N9 RADAR pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH - Suasana pilu menyelubungi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Negeri Sembilan pada Jumaat apabila kakitangannya memberikan penghormatan terakhir buat jenazah Imam Muda Masjid Bandar Baharu Serting, Mohammad Syazwan Mahadi, 28.

Penghormatan terakhir atau 'honor walk' itu dikatakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham mendermakan organnya.

Menerusi klip video yang tular di Facebook, warga hospital berkenaan dilihat berbaris mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Mohammad Syazwan.

Video berdurasi 41 saat itu turut memaparkan beberapa kakitangan menolak katil yang membawa jenazah Allahyarham, melalui laluan yang diiringi warga hospital sebelum memasuki sebuah ruang.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang terharu dengan pengorbanan Allahyarham.

Tidak kurang juga memuji usahanya untuk terus menabur bakti dengan membantu insan lain yang lebih memerlukan.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohammad Syazwan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah kira-kira jam 2.06 pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.

Mangsa parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kereta tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!