Jerebu: Semua sekolah di Johor beroperasi semula Isnin ini

JOHOR BAHRU - Semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor akan beroperasi semula mulai Isnin depan, susulan trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini sejak lima hari lalu.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan situasi jerebu serta penilaian risiko kesihatan oleh agensi berkaitan.
"Keputusan berkenaan turut dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.
"Perubahan arah angin mulai Sabtu peningkatan kelembapan serta jangkaan hujan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu di negeri ini.
“Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara.
"Pembukaan semula institusi pendidikan itu turut mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, penutupan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Johor dilanjutkan beberapa kali susulan keadaan jerebu yang membimbangkan, termasuk bacaan IPU yang kekal tinggi.
Penutupan itu dilaksanakan pada 8 dan 9 Oktober sebelum dilanjutkan dari 12 hingga 16 Oktober, kemudian disambung lagi dari 19 hingga 23 Oktober.
Dalam pada itu, Muhammad Naqib Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan di institusi pendidikan.
"Langkah berkenaan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan IPU semasa dan garis panduan yang berkuat kuasa.
"Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan.
"Sebarang perubahan atau tindakan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

