Jerebu: Dewan berhawa dingin alternatif lokasi peperiksaan SPM di Johor

Muhammad Naqib
Muhammad Naqib
A
A
A

JOHOR BAHRU – Dewan atau bilik berhawa dingin di sekolah serta dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang dipertimbang sebagai lokasi alternatif bagi memastikan kira-kira 44,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Johor menduduki peperiksaan dalam keadaan lebih selamat ketika jerebu.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang mengenal pasti lokasi dewan yang sesuai untuk digunakan bagi pelaksanaan peperiksaan bermula minggu depan.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan peperiksaan ketika penutupan sekolah telah disediakan, manakala penyelarasan dibuat melalui komunikasi antara JPNJ, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru dan ibu bapa.

"Simulasi pelaksanaan SOP turut dilakukan sebelum ini bagi memastikan semua pihak memahami langkah yang perlu dipatuhi apabila calon hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.

"Calon yang dibenarkan hadir perlu memakai pelitup muka, mengelakkan aktiviti di luar bilik peperiksaan dan pulang ke rumah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan.

"Selain itu, tempoh keberadaan pelajar di sekolah juga perlu dihadkan bagi mengurangkan pendedahan mereka kepada udara tercemar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau mengulas persediaan pelaksanaan peperiksaan susulan keputusan kerajaan negeri melanjutkan penutupan institusi pendidikan di Johor hingga 23 Oktober ini berikutan keadaan jerebu.

Menurutnya, kerajaan negeri memahami kepentingan peperiksaan kepada pelajar, namun langkah pencegahan perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan melanjutkan penutupan institusi pendidikan dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), ramalan meteorologi, data satelit dan tempoh pendedahan kepada jerebu.

"Indikatornya bukan IPU semata-mata. Kita melihat berapa lama seseorang berada di luar dan berapa kerap mereka terdedah kepada udara berkenaan.

"Semakin lama mereka berdepan dengan udara tercemar dan semakin banyak udara itu disedut, semakin besar risiko kesannya terhadap kesihatan," katanya.

Beliau berkata, pergerakan angin dari Kalimantan yang membawa jerebu ke Johor turut menjadi antara faktor yang dipertimbangkan dalam menentukan tempoh penutupan institusi pendidikan.

"Kerajaan negeri berharap perubahan arah angin yang dijangka berlaku selepas 24 Oktober dapat membantu mengalihkan jerebu ke arah selatan, sekali gus memperbaiki kualiti udara di Johor.

"Perkembangan semasa akan terus dipantau berdasarkan bacaan IPU, perubahan arah angin dan ramalan hujan sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula institusi pendidikan dibuat," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, kira-kira 44,000 calon SPM di Johor dijangka menduduki peperiksaan tahun ini yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 Disember.

Berdasarkan jadual Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ujian bertutur Bahasa Melayu dijadualkan pada 26 hingga 29 Oktober, diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris dari 2 hingga 5 November.

Ujian Amali Sains pula akan berlangsung pada 16 hingga 18 November, manakala peperiksaan bertulis bermula pada 23 November hingga 17 Disember. Ujian mendengar Bahasa Melayu dijadualkan pada 23 November, diikuti Bahasa Inggeris pada 24 November.

Sementara itu, Muhammad Naqib menegaskan kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada keperluan pelajar yang mengikuti pembelajaran dari rumah, khususnya mereka yang berdepan kekangan peranti dan akses internet.

"Kerajaan negeri sedang mendapatkan maklumat mengenai pelajar yang memerlukan peranti serta meneliti keperluan menaik taraf capaian Wi-Fi di kawasan kediaman berpenduduk padat, termasuk flat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!