Penyata Jakarta 2012 jadi teras perangi rasuah - Abu Kassim

SHAH ALAM - Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara menjadikan 16 prinsip Penyata Jakarta mengenai Prinsip Agensi Pencegah Rasuah 2012 (Penyata Jakarta 2012) sebagai teras rujukan dalam memperkasa institusi pencegahan rasuah, sekali gus memerangi gejala tersebut di Asia Tenggara.
Presiden Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, prinsip itu penting bagi memastikan agensi pencegahan rasuah diwujudkan itu memiliki mandat undang-undang kukuh, bebas dan berkesan.
“Antara prinsip penting termasuk proses pelantikan ketua agensi, peranan badan pemantau, mandat jelas melalui perlembagaan atau undang-undang dan jaminan perlindungan daripada campur tangan politik.
“Jika agensi ditubuhkan hanya melalui arahan pentadbiran, ia boleh dihapuskan dengan mudah,” katanya.
Ujar Abu Kassim, persidangan yang dianjurkan buat pertama kali di rantau ini juga bertujuan menyingkap dan menilai pelaksanaan Artikel 36 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), terutama dalam konteks negara Asia Tenggara.
“Artikel 36 menggesa setiap negara mewujudkan agensi pencegahan rasuah yang bebas dan berkesan. Namun, tafsirannya agak umum.
“Jadi pada tahun 2012, sekumpulan pakar seluruh negara termasuk pengamal pencegahan rasuah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Jakarta bagi mengkaji dan mengenal pasti prinsip-prinsip yang perlu ada untuk mewujudkan sebuah institusi pencegahan rasuah yang bebas dan berkesan.
“Hasilnya pada perbincangan itu, maka lahirnya 16 prinsip (Penyata Jakarta 2012) yang dikenal pasti sebagai elemen perlu ada bagi mana-mana institusi pencegahan rasuah yang hendak diwujudkan,” ujarnya.
Menurut beliau, NGO seperti Rasuah Busters turut dilibatkan dalam program tersebut kerana keberkesanannya dalam menyampaikan mesej kesedaran antirasuah kepada masyarakat akar umbi.
Ulasnya, kerjasama itu dapat membantu menyebar luas kesedaran mengenai gerakan perjuangan memerangi rasuah kepada pihak berkepentingan seluruh negara.
“Rasuah Busters berjaya bawa wadah perjuangan ini dengan lebih berkesan. Bagi kita sebagai institusi yang baharu, kita memerlukan pihak yang mempunyai pengaruh akar umbi bagi menyampaikan perjuangan kita dalam isu rasuah.
“Jadi pada pandangan saya, Rasuah Busters ini adalah satu institusi yang wajar dibawa bersama untuk memberi kesedaran kepada pihak yang sepatutnya tentang perkara ini,” menurutnya.
Ditanya hala tuju persidangan berkenaan, Abu Kassim berkata, pihaknya berusaha menjadikan prinsip Penyata Jakarta itu sebagai garis panduan tetap yang diguna pakai oleh semua negara Asia Tenggara.
Tambahnya, persidangan itu diharap menjadi titik permulaan kepada komitmen serantau dalam menjadikan Asia Tenggara sebagai model dalam pembentukan agensi pencegahan rasuah yang berintegriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

