Video Takbir Raya PM disunting boleh gugat keharmonian negara - Mawim

Tangkap layar video asal Takbir Raya Aidilfitri PM ini telah disunting pihak tidak bertanggungjawab. (Gambar kecil Zuriati)
Tangkap layar video asal Takbir Raya Aidilfitri PM ini telah disunting pihak tidak bertanggungjawab. (Gambar kecil Zuriati)
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan video Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disunting agar kelihatan perlahan dan dijadikan bahan gurauan dilihat berunsur provokatif di media sosial.

Pengerusi Majlis Wanita Islam Yadim (Mawim), Profesor Dr Zuriati Ahmad Zulkarnain berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja melanggar etika bahkan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, suntingan video yang bertujuan menghina individu atau agama termasuk Islam merupakan tindakan yang dilarang dari segi etika, undang-undang dan agama.

“Media sosial sepatutnya menjadi satu platform utama untuk berkongsi maklumat, berinteraksi dan menzahirkan kreativiti.

“Apabila munculnya suntingan video provokatif yang bertujuan menghasut kebencian, menghina agama atau memecah belah masyarakat boleh mencetuskan kebimbangan.

“Ia bukan sahaja menyinggung perasaan seseorang atau kelompok tertentu tetapi berpotensi menimbulkan konflik sosial, pelanggaran hak asasi manusia dan memberi ancaman terhadap keharmonian hidup masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular video memaparkan Anwar mengetuai bacaan Takbir Hari Raya Aidilfitri yang telah disunting ke dalam bentuk gerakan perlahan lalu disebarkan dengan unsur sarkastik, jenaka dan parodi.

Suntingan tersebut menjadikan gerakan wajah dan tubuh Ahli Parlimen Tambun itu kelihatan janggal dan aneh hingga ramai meninggalkan komen bernada memperlekehkan serta menghina beliau.

Zuriati berkata, penyebaran video bersifat manipulatif yang menghina individu atau agama bukan sahaja tidak bermoral malah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

“Penyebaran suntingan video provokatif yang berniat jahat ini perlu ditangani secara holistik dengan strategi melibatkan kerajaan, platform media sosial dan masyarakat.

“Kerajaan dan pihak berwajib secara konsisten bertanggungjawab untuk memantau media sosial, menyekat kandungan provokatif dan menangani laporan dengan pantas," katanya

Masyarakat juga ujarnya, perlu didik melalui pemerkasaan modul panduan media sosial menerusi program literasi digital bermula di peringkat sekolah agar dapat belajar cara mengenali video palsu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!