Skim Ponzi MBI: Polis sahkan akan ada lagi tangkapan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat beberapa lagi siri tangkapan dalam masa terdekat susulan pembongkaran skim pelaburan tipu berkonsepkan Ponzi yang dikenali sebagai Pelaburan MBI.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, hasil siasatan dan risikan telah membawa kepada penemuan beberapa bukti baharu yang dipercayai mengaitkan lebih ramai individu dengan sindiket terbabit.
"Rentetan tangkapan yang telah dibuat sebelum ini, kita menemui bukti-bukti baharu hasil risikan dan maklumat terkini yang diperoleh daripada kerjasama erat dengan agensi penguat kuasa luar negara.
"Melalui serbuan yang dijalankan, kami menemui lebih banyak bahan bukti yang mengukuhkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi siri tangkapan dalam waktu terdekat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut beliau, siasatan mendapati skim pelaburan MBI itu telah beroperasi sejak bertahun-tahun lalu dan menjadi antara sindiket pelaburan palsu yang paling aktif merentasi sempadan.
Jelasnya, kebanyakan mangsa mula tampil membuat laporan polis selepas merasakan pelaburan mereka tidak membuahkan hasil, selain mula menyedari terdapat elemen penipuan yang tersusun dan terancang di sebalik skim berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan seramai lapan individu tempatan termasuk dua usahawan bergelar Datuk, dua peguam dan seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun telah ditahan menerusi Op Northern Star yang digerakkan pada 20 Mac lalu.
Tangkapan itu, menurutnya, adalah hasil siasatan mendalam pihak AMLA bersama pihak Interpol yang mengeluarkan notis merah terhadap beberapa individu berkaitan skim pelaburan tersebut.
Dalam operasi sama, pasukan siasatan turut menjalankan beberapa siri serbuan ke atas premis-premis dan lokasi berkaitan, sebelum berjaya menyita serta membekukan sejumlah besar aset yang dipercayai hasil perolehan haram melalui aktiviti pelaburan tersebut.
Antara aset yang dirampas termasuk ratusan akaun bank dan akaun saham yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.16 bilion. Selain itu, turut disita ialah 35 unit hartanah bernilai hampir RM2 bilion, 10 buah kenderaan mewah serta 12 utas jam tangan jenama eksklusif.
Turut ditemui dalam serbuan berkenaan ialah pelbagai mata wang asing dan tunai dalam Ringgit Malaysia, barangan kemas, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan mewah serta dokumen-dokumen penting yang dipercayai berkaitan urus niaga sindiket.
Tan Sri Razarudin menjelaskan, semua aset berkenaan telah disita mengikut peruntukan di bawah Seksyen 44(1) dan Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

