Keluar PKR hanya spekulasi: Exco Kedah

Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin menafikan maklumat tular bahawa beliau sudah keluar parti kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas memaklumkan beliau masih ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Itu spekulasi sahaja, saya masih bersama PKR, tempoh bertenang,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut ketika dihubungi hari ini.

Ura-ura Azman bakal mengikut jejak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semakin diperkatakan sejak beliau dilihat bersama Mohamed Azmin di rumah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Spekulasi itu semakin kencang apabila Azman memuat naik pautan daftar keahlian penggerak Muafakat Nasional di Facebooknya Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan di Kedah tidak mampu bertahan lama

Kerajaan Kedah kekal ditadbir Mukhriz

Sementara Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Che Md Dzaher Ahmad menegaskan sehingga kini Azman masih ahli PKR dan parti itu tidak menerima sebarang makluman rasmi berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Selagi tiada pengumuman rasmi atau surat makluman keluar parti, Azman masih ahli PKR. Itu hak beliau dan berilah ruang untuk beliau fikirkan yang terbaik dalam politik,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kedudukan kerajaan negeri Kedah yang berbeza dengan gabungan pakatan politik di peringkat Persekutuan, susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan Kedah ditadbir Bersatu dan Pakatan Harapan (PH), katanya ia kekal sehingga kini.

“Kerajaan negeri Kedah masih tertakluk kepada persetujuan itu selagi tiada perubahan berlaku. Kita hanya tunggu perkembangan seterusnya dan arahan dari Pusat. Selagi tiada perubahan, kerja diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, semua Exco, ADUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) termasuk lantikan politik diarahkan bekerja seperti biasa sehingga terdapat arahan baharu daripada Pusat.

“Disebabkan itu di Kedah suasana lebih tenteram dan tak kelam kabut, PKR akan mengadakan sesi penerangan politik ke seluruh negeri minggu depan untuk memberi penerangan berkaitan situasi politik semasa,” katanya.