Kerajaan Kedah kekal ditadbir Mukhriz

Mukhriz pada sidang media bersama ADUN PH dan Bersatu di Seri Mentaloon.
Mukhriz pada sidang media bersama ADUN PH dan Bersatu di Seri Mentaloon.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah kekal ditadbir oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana mendapat sokongan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kekal sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukhriz berkata, kesemua 18 ADUN PH dan Bersatu sepakat bahawa kerajaan negeri Kedah dikekalkan agar urusan pentadbiran lancar.

"Kerajaan negeri hari ini adalah gandingan PH dan Bersatu, dan mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah," katanya pada sidang akhbar di Seri Mentaloon, hari ini, selepas menghadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Hadir sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.

Mukhriz berkata, keputusan peringkat negeri ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan tertinggi parti.

"Sultan Kedah dimaklumkan mengenai situasi semasa politik negara, dan saya persembahkan warkah penzahiran sokongan terhadap saya daripada 18 ADUN PH dan Bersatu kepada baginda. Baginda memperkenankan agar saya terus memegang jawatan Menteri Besar," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap rakyat meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan pentadbiran ini dan bersikap rasional kerana pentadbiran negeri tidak terjejas oleh situasi politik peringkat Persekutuan.

AKAN MENYUSUL

Artikel Berkaitan: