Gelombang haba landa India

Seorang kanak-kanak lelaki menyapu lumpur ke tubuhnya bagi menyejukkan badan berhampiran tebing Sungai Yamuna ketika cuaca panas terik melanda New Delhi.
Seorang kanak-kanak lelaki menyapu lumpur ke tubuhnya bagi menyejukkan badan berhampiran tebing Sungai Yamuna ketika cuaca panas terik melanda New Delhi.
A
A
A

NEW DELHI – Beberapa minggu sebelum puncak musim panas di India, gelombang haba teruk melanda wilayah ibu negara India, Delhi dan kawasan lain di negara itu, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran di beberapa negeri, lapor Xinhua.

Pada minggu ini, Delhi mencatatkan suhu tertinggi musim ini, dengan suhu mencecah 40.2 darjah Celsius di Safdarjung, iaitu 5.1 darjah melebihi paras normal.

Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), suhu maksimum di Delhi dijangka berada dalam julat 40 hingga 42 darjah Celsius.

Peningkatan suhu adalah selaras dengan ramalan gelombang haba IMD di ibu negara untuk minggu ini.

Sekumpulan gadis menutup wajah mereka dengan selendang bagi melindungi diri daripada terik matahari ketika berjalan di sepanjang jalan di Amritsar.
Sekumpulan gadis menutup wajah mereka dengan selendang bagi melindungi diri daripada terik matahari ketika berjalan di sepanjang jalan di Amritsar.

Untuk kawasan dataran, gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum melebihi 40 darjah Celsius dan sekurang-kurangnya 4.5 takuk melebihi normal.

Menandakan permulaan awal keadaan musim panas melampau di sebahagian besar India, IMD juga memberi amaran bahawa kira-kira 21 bandar raya di Rajasthan, Gujarat, Odisha dan Maharashtra berkemungkinan mencatatkan suhu tinggi dalam beberapa hari akan datang.

Pemandu beca elektrik membawa berkotak-kotak botol air minuman sebelum diedarkan kepada peruncit.
Pemandu beca elektrik membawa berkotak-kotak botol air minuman sebelum diedarkan kepada peruncit.

Susulan itu IMD meramalkan bahawa keadaan itu boleh menjejaskan nyawa serta sumber pendapatan penduduk.

Artikel Berkaitan:

India sememangnya tidak asing dengan musim panas yang terik, namun penyelidikan saintifik selama beberapa tahun mendapati perubahan iklim menjadi faktor utama yang menyebabkan gelombang haba kini semakin panjang, kerap dan lebih ekstrem.

Musim panas di India berlangsung dari bulan April hingga Jun, dengan suhu sering mencecah lebih 45 darjah Celsius pada kemuncak musim.

Seorang anggota polis trafik menggunakan topi keledar berhawa dingin bagi mengurangkan bahang panas ketika bertugas di persimpangan jalan dalam cuaca terik di Chennai.
Seorang anggota polis trafik menggunakan topi keledar berhawa dingin bagi mengurangkan bahang panas ketika bertugas di persimpangan jalan dalam cuaca terik di Chennai.

Secara purata, India mengalami antara empat hingga tujuh hari gelombang haba dalam tempoh April hingga Jun setiap tahun.

Golongan bayi, warga emas, individu yang menghidap penyakit serta pekerja yang bekerja di luar adalah antara yang paling terdedah kepada bahaya suhu tinggi.

Tekanan haba akibat cuaca ekstrem boleh menyebabkan pelbagai simptom seperti pening, sakit kepala, kegagalan organ malah kematian.

Penduduk bandar turut berdepan risiko lebih tinggi kerana persekitaran konkrit, batu-bata dan permukaan yang menyerap haba secara berlebihan.

Seorang pekerja minum air di tapak pembinaan pada hari panas di New Delhi.
Seorang pekerja minum air di tapak pembinaan pada hari panas di New Delhi.

Tempoh berpanjangan dengan suhu ekstrem juga boleh memberi tekanan kepada infrastruktur seperti sistem bekalan elektrik dan pengangkutan awam.

Tahun lalu, India mengalami gelombang haba terpanjang dalam sejarahnya dengan suhu melebihi 45 darjah Celsius dicatat secara konsisten.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekurang-kurangnya setengah juta orang mati setiap tahun akibat haba, namun memberi amaran bahawa angka sebenar mungkin 30 kali ganda lebih tinggi. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!