IMKL mahu perangi gejala rasuah

INSTITUT Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) bertekad untuk memerangi amalan rasuah dalam sistem latihan pemanduan, melalui pembinaan benteng integriti di semua peringkat bermula dari kaunter pendaftaran hingga ke litar ujian memandu.
Langkah itu dizahirkan melalui penganjuran Ceramah Integriti: Jauhi Rasuah, Kekalkan Maruah bersama gerakan #RasuahBusters pada Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IMKL, Nora Ahmad berkata, inisiatif itu dilihat mampu membuka mata pelajar dan tenaga kerjanya bahawa tiada istilah 'lesen terbang' atau jalan pintas untuk memperoleh lesen memandu.

Tegasnya, perbuatan memberi dan menerima rasuah seperti membayar 'duit kopi' untuk lulus ujian memandu hakikatnya boleh mendatangkan risiko nyawa terhadap pengguna jalan raya yang lain.
“Bayangkan seorang calon yang tidak cekap mendapat kelulusan hanya dengan kaedah memberi rasuah atau amalan under table.
“Dia memandu di jalan raya dengan lesen sah tetapi tanpa ilmu dan tanpa tanggungjawab. Siapa yang akan tanggung akibatnya jika berlaku kemalangan atau insiden tidak diingini?” soal beliau selepas menghadiri sesi ceramah terbabit.
Menurut Nora, IMKL bukan sekadar mahu melahirkan pemandu mahir tetapi juga individu berintegriti yang sedar bahawa rasuah bukan hanya melanggar undang-undang tetapi satu pengkhianatan terhadap masyarakat.
Jelas Nora lagi, IMKL sedang membina satu ekosistem berintegriti merangkumi semua lapisan termasuk tenaga pengajar dan pegawai penguji agar tiada ruang untuk manipulasi, sogokan mahupun kompromi terhadap piawaian keselamatan.
Tambahnya, industri latihan memandu suatu ketika dahulu pernah terpalit dengan pelbagai salah laku termasuk penyelewengan yuran, pemalsuan resit dan komplot antara jurulatih serta penguji bagi memastikan calon tertentu lulus walaupun tidak layak.
“Budaya ‘tutup mata’ ini melemahkan sistem penilaian dan menurunkan standard keselamatan jalan raya. Kita mahu hentikan perkara ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat jurulatih yang mengenakan caj tersembunyi secara senyap-senyap, menyebabkan calon tertipu tanpa pengetahuan pihak pengurusan.
IMKL, katanya, lebih mengutamakan pendekatan pencegahan dan pendidikan daripada tindakan hukuman semata-mata.
Atas dasar itu, Nora berkata, IMKL merancang memperkukuh kerjasama dengan #RasuahBusters termasuk penganjuran ceramah berkala, kelas integriti serta penerbitan kandungan media sosial berbentuk pendidikan dan pencerahan.
“Kami mahu jadikan media sosial sebagai platform dakwah antirasuah. Bila mesej integriti sampai ke telefon pintar mereka, barulah ia meresap ke dalam hati,” kata beliau.
IMKL juga, katanya, membuktikan bahawa usaha memerangi rasuah bukan hanya tugas agensi penguat kuasa, malah inisiatif itu boleh bermula di mana-mana termasuk di sebuah institut latihan memandu.
“Rasuah ialah dosa sosial. Ia hilangkan kepercayaan, harga diri dan masa depan. Di IMKL, kami mahu jadi sebahagian daripada penyelesaian,” tegas Nora.

Inisiatif IMKL turut mendapat reaksi positif daripada tenaga-tenaga pengajarnya sendiri termasuk Muhammad Nur Hanif Ajib, 39, yang menyifatkan ceramah tersebut sebagai langkah penting meningkatkan kesedaran dalam kalangan staf dan pelajar.
“Langkah ini harus diperluas ke semua cawangan agar kita dapat lahirkan pemandu berhemah di jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Halimatun Saadiah Awang Ngah @ Zainudin, 44, berkata, sikap tidak berintegriti dalam kalangan pengajar akan memberi kesan kepada disiplin dan etika pelajar yang dilatih.
“Jika tenaga pengajar tak amanah, calon juga akan terbiasa langgar undang-undang. Program seperti ini patut diwajibkan di semua institut pemanduan,” tegasnya.
Kakitangan lain, Hamzah Ghazali, 74, berpendapat walaupun ceramah itu singkat, impaknya besar dan mampu membuka fikiran ramai tentang bahaya rasuah.
“Ceramah ini bukan saja berguna untuk pengajar, malah boleh dikongsi dengan ahli keluarga. Bila pengajar faham, mutu latihan juga akan meningkat,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
